Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois mengakui adalah sesuatu yang mengecewakan sekiranya gelaran juara La Liga 2019/20 diberikan kepada Barcelona tanpa menamatkan persaingan tersebut sehingga ke perlawanan terakhir.
Hal ini kerana masa depan saingan tersebut masih belum dapat diputuskan selepas terpaksa dihentikan susulan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada ketika ini.
Namun selepas tamat 27 perlawanan, Barcelona menghuni tangga teratas apabila mengumpul 58 mata, hanya dua mata meninggalkan Real Madrid di tempat kedua.
Bagi penjaga gol kelahiran Belgium itu, beliau mengharapkan agar kempen La Liga kembali bersambung serta dalam masa yang sama tidak mahu juara diumumkan [sekiranya liga dibatalkan] kerana beranggapan persaingan terlalu ketat diantara dua kelab gergasi tersebut.
“Sudah tentu saya suka untuk melihat saingan liga musim ini ditamatkan. Kami [Real Madrid] hanya ketinggalan dua mata dibelakang Barcelona, jadi saya merasakan kami masih mampu untuk muncul juara.”
“Jadi amat malang sekiranya kempen liga musim ini terpaksa dibatalkan,” ujar Courtois menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Sebagai contoh di Perancis, terdapat dua pasukan yang diturunkan pangkat, mereka mungkin boleh menyelamatkan diri tetapi tidak dapat melakukannya.”
“Di Belanda, tiada pasukan yang ditabalkan sebagai juara, tiada pasukan naik dan diturunkan [liga]. Ia begitu malang buat pasukan dari divisyen dua yang tidak dapat naik.”
“Jadi, jika pagi ini mereka membuat keputusan untuk menamatkan saingan dan Barcelona dipilih sebagai juara, saya juga tidak akan merasakan keputusan itu betul,” ujar Thibaut Courtois lagi.