Pemain muda semakin meningkat naik Manchester United, Marcus Rashford mengakui bahawa tempoh sukar ketika berada di bawah kendalian Jose Mourinho telah menjadikannya seorang pemain yang lebih baik pada ketika ini.
Pada usia 19 tahun (musim 2016/17), Rashford berjaya memenangi hati pengendali kelahiran Portugal itu yang memberikan banyak peluang buatnya untuk membuktikan kualiti dimiliki pemain kelahiran Wythenshawe, kawasan pinggir bandar di selatan Manchester tersebut.
Musim itu juga menyaksikan Manchester United berjaya menjulang trofi Liga Europa dan Piala Liga. Rashford pada ketika itu lebih banyak diletakkan sebagai pemain sayap kerana United sudah memiliki Romelu Lukaku dan Zlatan Ibrahimovic berperanan sebagai penyerang.
Meskipun tidaklah beraksi dengan begitu baik, Rashford mengakui peluang yang diberikan telah meningkatkan dirinya.
”Ketika itu merupakan masa yang sulit tetapi saya merasakan apabila anda mengimbau kembali perkara tersebut pada lima atau enam tahun, itu akan menjadi detik yang memberikan kekuatan mental buat anda.”
”Sebagai pemain mempunyai banyak kebolehan [kegunaan], saya telah menunjukkan peningkatan yang ketara ketika dua musim berada di bawah bimbingan Jose [Mourinho],” ujar Rashford menurut laporan Goal.
”Kita akan mengalami turun naik persembahan. Apabila melihat semula ke belakang, ia adalah masa sukar tetapi jelas merupakan tempoh menjadikan saya sebagai pemain yang lebih baik.”
Kini, selama lima musim beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Marcus Rashford telah berjaya menjaringkan 41 gol dalam 133 penampilannya di saingan liga paling popular di dunia itu.
Musim 2019/20 juga turut memperlihatkan ketajamannya di hadapan gol apabila meledakkan 14 gol tetapi masalah kecederaan belakang menghalangnya untuk menambahkan lagi jumlah tersebut.
Kredit foto: Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images