Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku memberikan bayangan bahawa beliau mungkin tidak akan kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meninggalkan Manchester United pada musim panas lalu.
Chelsea menjadi destinasi pertama buat Lukaku dalam kancah liga paling popular di dunia itu apabila berhijrah dari Anderlecht dengan yuran perpindahan bernilai hampir €20 juta.
Beliau yang kelihatan cukup menikmati kariernya bersama Inter Milan tidak melihat EPL akan kembali menjadi destinasi buatnya tetapi sebaliknya memilih untuk kembali menyertai kelab zaman kanak-kanaknya, Anderlecht.
”Saya tidak berfikir begitu [kembali ke EPL] tetapi saya sangat menyukai detik ketika bersama Everton,” ujar Lukaku menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Sudah tentu [untuk kembali ke Anderlecht].”
Embed from Getty ImagesMengimbau kembali perjalanan karier Lukaku dalam EPL, beliau tidak mampu untuk memberikan saingan hebat kepada penyerang Chelsea yang lebih berpengalaman seperti Daniel Sturridge, Fernando Torres dan Didier Drogba pada usia mudanya [musim pertama].
Keadaan itu mengakibatkan beliau tiada dalam perancangan Roberto Di Matteo pada musim kedua di EPL dan akhirnya Lukaku dipinjamkan ke West Bromwich Albion (WBA).
Langkah itu jelas memberikan sinar baharu buat anak kelahiran Antwerp ini apabila beliau beraksi cemerlang setelah menjaringkan 17 gol dalam 35 penampilannya dalam aksi liga bersama WBA.
Aksi cemerlangnya itu masih lagi tidak mampu untuk mencuri hati Di Matteo yang meminjamkannya pula ke Everton pada musim 2013/14. Musim berikutnya menyaksikan beliau melengkapkan perpindahan secara tetap ke kelab Merseyside itu.
Seperti anda sedia maklum, bersama Everton menyerlahkan kualiti Romelu Lukaku sebagai antara peledak yang cukup disegani dalam saingan EPL pada ketika itu sekaligus mencuri tumpuan Manchester United untuk memancingnya.
Selepas dua musim di Old Trafford, Antonio Conte yang sudah lama mengidamkan untuk mendapatkan khidmat Lukaku berjaya merealisasikan impiannya bersama Inter Milan.
Kredit Foto: Claudio Villa – Inter/Inter via Getty Images