Legenda Liverpool, Phil Thompson beranggapan kelab tersebut seharusnya membawa kembali pemain sayap, Phillipe Coutinho ke Anfield apabila jendela perpindahan dibuka nanti.
Thompson yang turut pernah menjadi ‘caretaker’ pasukan The Reds melabelkan anak kelahiran Rio de Janeiro, Brazil itu adalah seorang pemain genius kreatif dan dapat memberikan keseimbangan di jentera serangan Liverpool.
Coutinho sebelum ini mengejutkan kancah bola sepak dunia setelah memilih untuk berhijrah ke Barcelona dengan yuran perpindahan berjumlah €160 juta pada Januari 2018.
Namun hanya selepas dua musim beraksi bersama kelab Catalan itu, khidmat Coutinho seakan dipandang sepi apabila Barcelona telah memancing Antoine Griezmann yang mengakibatkan beliau dipinjamkan ke Bayern Munich.
Dengan masa depannya di Nou Camp seperti berada di persimpangan, Thompson melihat ini peluang terbaik buat skuad bimbingan Jurgen Klopp tersebut untuk kembali mendapatkan khidmat bekas ‘pemain kesayangan’ para penyokong Liverpool itu.
”Mereka [Liverpool] mungkin sedang memerhatikan pemain tengah kreatif. Adakah anda akan kembali untuk mendapatkan Coutinho? Saya akan melakukannya tanpa ragu.”
”Saya merasakan dia adalah seorang pemain genius yang kreatif. Jika anda imbau kembali ketika kariernya bersama Liverpool dan dia sangat luar biasa. Dia tidaklah terlalu tua dan saya merasakan dia akan kembali menunjukkan bisanya,” ujar Thompson menurut laporan Goal.
”Ia mungkin tidak akan terjadi tetapi pemain kreatif seperti itu di belakang tiga pemain jentera serangan mungkin akan membuatkan keadaan menjadi lebih seimbang.”
Selama enam musim bersama Liverpool, Coutinho berjaya menjaringkan 41 gol dalam 152 penampilannya dalam kempen Liga Perdana Inggeris.
Kredit foto: Sebastian Widmann/Bongarts/Getty Image