Masih ingat kejutan yang dihadirkan Nigeria dalam Piala Dunia 1998? Disebalik kejutan awal, Nigeria akhirnya tewas di pusingan 16 terbaik dan bekas pertahanan kental, Taribo West telah mendedahkan sebab ‘klimaks’ awal skuad tersebut.
Nigeria melalui perjalanan hebat di peringkat kumpulan apabila menduduki takhta Kumpulan D, di atas Paraguay dan menyingkirkan antara pasukan pilihan, Sepanyol. Dua kemenangan awal memberikan mereka keselesaan untuk melepasinya.
Menang mengejut 3-2 ke atas Sepanyol yang dibarisi pemain seperi Fernando Hierro, Andoni Zubirzareta dan Raul Gonzalez dalam aksi pembukaan kumpulan, diikuti menang tipis 1-0 ke atas Bulgaria telah membantu perjalanan ‘indah’ mereka.
Aksi terakhir kumpulan menentang Paraguay tiada apa-apa makna dengan enam mata sudah ada di tangan dan mereka tetap di tangga teratas walaupun tewas 1-3 kepada Paraguay. Kemenangan besar Sepanyol ke atas Bulgaria tiada kesan.
Menurut Taribo West, itulah permulaan kejatuhan mereka di Piala Dunia yang berlangsung di Perancis itu. Mendapat perhatian secara tiba-tiba dan pilihan utama untuk menyingkirkan Denmark pula membuatkan pemain-pemain Nigeria lupa diri.
Bertemu Denmark di pusingan 16 terbaik, Nigeria merupakan pilihan utama untuk ke suku akhir atas persembahan baik mereka di peringkat kumpulan. Pemenang akan bertemu Brazil yang sebelum itu menang 4-1 ke atas Chile di pusingan tersebut.
“Saya ada terbaca mengenai pemain-pemain Nigeria mengunjungi kelab malam dan juga menaiki ‘limousines’ ketika di Piala Dunia Perancis. Secara jujur, saya tidak tahu mengenai perkara tersebut,” ujarnya yang ketika itu baru berusia 24 tahun.
“Tetapi, apa yang saya tahu adalah beberapa pemain kami telah ‘menyeludup’ perempuan ke dalam kem kami. Itu saya nampak sendiri,” ujar pertahanan yang sangat terkenal dengan potongan gaya rambut ‘aneh’ sepanjang kariernya.
“Mereka [perempuan tersebut] adalah orang Afrika yang datang untuk menyaksikan perlawanan dan jatuh hati dengan persembahan kami. Jadi mudah untuk pemain-pemain ini untuk memikat mereka pulang ke bilik mereka,” tambahnya lagi.
“Itulah sebabnya, anda dapat lihat ketika perlawanan menentang Denmark, para pemain seperti tiada tenaga untuk menyekat pemain-pemain lawan,” jelasnya yang turut berkata beliau sangat marah kepada mereka sepanjang perlawanan tersebut.
“Mereka terlampau letih kerana ‘bekerja lebih masa’ bersama perempuan-perempuan tersebut pada malam sebelumnya. Mereka buat semua ini kerana yakin kami akan mudah untuk menewaskan Denmark,” tambahnya lagi kepada The Punch.
Beliau yang kini berusia 46 tahun bertugas sebagai paderi di negara kelahirannya hanya mampu melihat Nigeria dibelasah Denmark yang ketika itu dibarisi oleh Peter Schmeichel, Michael Laudrup dan Brian Laudrup dengan keputusan 4-1.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES