Legenda Chelsea, John Terry menggesa kelab tersebut supaya membawa masuk pemain muda berbakat besar yang kini beraksi bersama Borussia Dortmund, Jadon Sancho ke Stamford Bridge.
Terry beranggapan pemain lincah berusia 20 tahun itu mampu untuk menyesuaikan diri dengan baik bersama-sama produk lepasan akademi Chelsea yang telah menunjukkan persembahan memberangsangkan di musim pertama dibawah kendalian Frank Lampard.
Hukuman penggantungan pendaftaran pemain yang dihadapi Chelsea pada jendela perpindahan musim panas lalu memberikan peluang terbaik buat pemain-pemain muda seperti Mason Mount, Fikayo Tomori, Recce James, Tammy Abraham dan yang terbaharu, Billy Gilmour untuk membuktikan kemampuan mereka menyarung jersi skuad utama The Blues.
Sehubungan dengan itu, Terry yang kini menjawat jawatan selaku penolong ketua jurulatih Aston Villa merasakan Chelsea perlu melakukan sehabis baik untuk mendapatkan khidmat Sancho.
”Saya merasakan pemain muda telah menunjukkan potensi yang dimiliki oleh mereka.”
”Kita bercakap pada permulaan musim mengenai pemain-pemain seperti Tammy dan Mason yang menyertai skuad utama dan mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu untuk bermain.”
”Saya rasa Sancho adalah salah seorang daripada pemain muda terbaik di dunia pada ketika ini, jadi dia mampu untuk menjadi tambahan hebat buat skuad Chelsea,” ujar Terry hasil laporan dikeluarkan Goal.
”Terlalu banyak perkara positif pada musim ini. Jadi, saya merasakan setiap daripada penyokong Chelsea mahu untuk melihatnya, pemain muda dan generasi muda datang untuk membuat penampilan sulung bersama skuad utama. Kita telah melihat banyak pada tahun ini.”
Jadon Sancho yang menyertai Borussia Dortmund daripada Manchester City pada 2017 telah menjaringkan 31 gol serta mencipta 36 bantuan jaringan hasil 90 penampilannya bersama wakil Bundesliga itu.
Kredit foto: Mario Hommes/DeFodi Images via Getty Images