Tidak ada seorang pun dari kalangan penyokong Liverpool mahu melihat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelab itu ditangguhkan. Apatah ia begitu hampir dan dipisahkan dengan dua kemenangan.
The Reds kini mempunyai kelebihan 25 mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City, tetapi bola sepak Inggeris telah digantung seketika sehingga seawal 3 April hadapan akibat penularan wabak coronavirus.
Usaha sedang digiatkan untuk memungkinkan liga bersambung semula selepas itu, dan perubahan jadual perlawanan yang berbaki sembilan pusingan berkemungkinan musim 2019/20 akan ditamatkan hanya pada Jun 2020.
Kemungkinan untuk liga diteruskan dan tamat pada Jun adalah harapan paling realistik pada ketika ini selepas UEFA bersetuju meminda Kejohanan Euro 2020 ke musim panas berikutnya.
Euro 2020 pada asalnya akan bermula pada 12 Jun sehingga pertengahan Julai akan datang melibatkan 12 bandar utama di serata Eropah.
Dan sekiranya EPL dilanjutkan sehingga Jun, maka syarikat pengeluar barangan sukan berpengkalan di Amerika Syarikat, Nike akan menjadi entiti paling gembira.
Ini kerana kontrak syarikat tersebut bersama Nike akan bermula pada 1 Jun akan datang. Ia juga bermakna Liverpool hampir pasti akan menjulang dan berarak (jika keadaan sudah pulih) dengan jersi keluaran mereka.
Sejak enam musim yang lalu, Liverpool mendapat tajaan daripada sebuah lagi syarikat barangan sukan dari Amerika Syarikat, New Balance.
Malah sepanjang musim yang dianggap menakjubkan ini, Liverpool turut menggunakan jersi keluaran New Balance.
Ia bagaikan mimpi buruk buat New Balance sekiranya situasi ini berlaku. Tetapi tidak boleh dinafikan Nike adalah entiti paling gembira kerana kejuaraan Liverpool ditangguhkan.