Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk mengakui akan kecewa jika penularan wabak coronavirus akan menghalang kehadiran penyokong ketika mereka dinobatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 30 tahun yang lalu.
The Reds kini mendahului kedududukan liga dengan kelebihan 25 mata, tetapi semua pertandingan domestik di seluruh England kini ditangguhkan sehingga 3 April hadapan.
Prospek bermain di stadium kosong selepas pertandingan disambung semula adalah antara cadangan yang dibangkitkan dalam usaha terus mengawal penularan wabak tersebut.
“Tidak ada pemain yang mahu beraksi dalam perlawanan yanpa penyokong, ” kata Van Dijk.
“Jika kita menjuarainya dalam stadium kosong tanpa kehadiran penyokong, saya amat kecewa untuk mereka,” ujar pemain antarabangsa Belanda itu lagi.
“Sangat jelas jika tiada penyokong di Anfield, maka ia adalah tamparan hebat.
Sehingga kini belum lagi jelas bagaimana saingan liga akan diteruskan. Malah terdapat permintaan daripada kelab-kelab lain supaya saingan musim ini dibatalkan sahaja.
“Sehingga keputusan dibuat bagaimana ia diteruskan, buat masa ini kita harus tunggu sahaja. Apabila ia berlaku [disambung kembali], kita akan membawa kejuaraan itu kepada penyokong,” kata Van Dijk dengan yakin.
Semua jenis sukan dijangka akan terus ditunda pada minggu akan datang dan Perdana Menteri Boris Johnson dijangka akan mengumumkan segala jenis perhimpunan awam tidak dibenarkan di United Kingdom.
Pihak Premier League sendiri akan bermesyuarat buat kali kedua pada Khamis hadapan untuk berbincang mengenai hala tuju musim ini susulan perancangan terkini daripada UEFA sendiri.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Brighton, Paul Barber menyifatkan sukar untuk membayangkan liga boleh disambung kembali pada April – mengambil kira kes ini secara global.
Naib Pengerusi West Ham, Karren Brady pula menuntut agar musim ini dibatalkan dan tidak perlu diambil kira.
Liverpool kini hanya sejauh dua kemenangan sahaja untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Inggeris – pertandingan yang kali terakhir mereka menangi pada 1990.