Perlawanan pusingan 16 UEFA Champions League antara Liverpool dengan Atletico Madrid di Anfield memberi bukti jelas – mengapa penjaga gol berkelas dunia boleh menjadi pemisah antara pasukan hebat dengan pasukan terhebat.
Liverpool mempunyai sejumlah 34 percubaan – 11 daripadanya tepat ke sasaran, on target – tetapi hanya 2 gol berjaya dihasilkan.
Sementara itu Atletico Madrid mempunyai 10 percubaan – enam daripadanya tepat ke sasaran – tetapi 3 gol berjaya dihasilkan.
Apa moral pengajaran daripada naratif ini? Satu, ya – anda memerlukan penyerang yang klinikal untuk menang. Kedua adalah, penjaga gol bertaraf dunia boleh membuatkan statistik nampak tak signifikan dalam dunia bola sepak.
Perlawanan awal pagi tadi adalah kisah mengenai dua penjaga gol berbeza.
Untuk Atletico Madrid, Jan Oblak bertanggungjawab menjadi ‘tembok’ di pintu gol mereka. Hampir segala ledasan percubaan yang dilepaskan oleh pemain Liverpool berjaya diselamatkan oleh beliau. Penjaga gol Slovenia ini melakukan sembilan aksi penyelamat dan menangkap kemas berdozen-dozen hantaran lintang Liverpool.
Sementara itu bagi Adrian pula, lain pula ceritanya. Untuk berlaku adil kepada penjaga gol berbangsa Sepanyol ini, beliau berjaya bangkit selepas kesilapan berprofil tingginya ketika kekalahan pusingan ke-5 FA Cup 2019/2020 menentang Chelsea.
Tetapi dalam perlawanan awal pagi tadi, Adrian menunjukkan bukti jelas bahawa kelas beliau jauh di belakang penjaga gol utama Alisson – dan Oblak yang mendapat anugerah pemain terbaik perlawanan tadi.
Liverpool pada mulanya berjaya mengawal perlawanan menerusi gol Roberto Firmino. Tetapi apabila Adrian melakukan clearance membuta-tuli yang singah ke kaki Joao Felix, kemudian Marcos Llorente – Atletico langsung tidak memberi ruang kepada Adrian untuk menebus kesilapannya.
Tak hairanlah Jurgen Klopp nampai risau pada minggu lepas apabila beliau memberitahu penjaga berkelas dunianya Alisson mengalami kecederaan pangkal paha semasa latihan.
Klopp barangkali tahu perbezaan antara Alisson dengan Adrian boleh menjadi perbezaan antara menang atau kalah di Champions League. Dan itulah yang terjadi awal pagi tadi. Semangat melawan Liverpool serta-merta menurun selepas kesilapan Adrian.
Liverpool masih lagi berpeluang menutup musim 2019/2020 dengan detik bersejarah menjuarai Premier League pertama dalam sejarah kelab.
Tetapi mereka pastinya akan tertanya-tanya: apakah nasib mereka akan berubah jika Alisson bermain awal pagi tadi? Bolehkah mereka mempertahankan kejuaraan Champions League jika Alisson tidak cedera?
Atletico berhak untuk menang
Atletico tiba di Anfield dengan peringatan betapa atmosfera di Anfield boleh mengacau mental pemain – walau pemain itu sudah biasa bergelar juara sekali pun – sebagaimana yang pernah dialami Barcelona dalam peringkat separuh akhir Champions League musim lepas.
Diego Simeone dan anak-anak buahnya nyata lebih keras daripada itu. Mereka mungkin dipaksa berkampung di kubu sendiri untuk tempoh yang panjang dalam perlawanan tadi. Tetapi mereka sedikit pun tidak goyah dengan intensiti Liverpool.
Simeone dan Atletico sememangnya pakar bertahan. Permainan mereka ada kalanya nampak tak cantik untuk ditonton setiap minggu, tetapi ini adalah antara sentuhan pakar dari Simeone yang wajib ditontoni oleh mana-mana pasukan yang mahu memperbaiki pertahanan.