PSG mara ke suku akhir Champions League selepas berjaya menewaskan Borussia Dortmund 2-0 dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Parc des Princes yang kosong awal pagi waktu Malaysia tadi.
Seperti perlawanan Valencia di Stadium Mestalla semalam, perlawanan ini dimainkan tanpa kehadiran penyokong sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19 di Eropah ketika ini.
Tetapi ia tetap tidak menghalang ratusan penyokong PSG untuk berkumpul di luar Parc des Princes – sesetengahnya memakai topeng muka – untuk bersorak dan menyalakan bunga api yang jelas kelihatan dari dalam stadium.
PSG yang ketinggalan 1-2 dalam aksi perlawanan pertama di Westafalenstadion tiga minggu lepas, bermula dengan cemerlang sebaik wisel perlawanan mula ditiup. Dalam 25 minit pertama, mereka selesa memegang bola sebelum memaksa Roman Burki menyelamatkan percubaan Edinson Cavani dengan kakinya.
Gol pertama perlawanan muncul hasil gerakan bijak Neymar ke kawasan kotak enam ela untuk menemui hantaran lintang cantik Angel di Maria dengan tandukan padu. Penyerang Brazil itu kemudiannya mengabaikan nasihat wabak COVID-19 dengan meraikan jaringannya dengan rakan sepasukan di bangku simpanan.
Gol kelapan dalan sembilan perlawanan Champions League ini meletakkan PSG di hadapan dengan kelebihan gol di tempat lawan. Tetapi tak lama kemudian, mereka tidak memerlukan kelebihan tersebut.
Terima kasih kepada Paulo Sarabia, PSG mendahului secara agregat pula. Bekas pemain Getafe dan Sevilla ini memecut dari sayap kanan untuk menghantar bola rendah yang dibias oleh Bernat.
Kylian Mbappe yang sudah tidak berlatih dengan pasukannya selama dua hari kerana sakit tekak, diturunkan pada separuh masa kedua. Tetapi impaknya tidak signifikan memandangkan PSG sudah dominan sebelum kemasukannya.
Walaupun PSG selepas itu banyak menyerahkan penguasaan bola kepada pelawat, penjaga gol Keylor Navas langsung tidak perlu melakukan apa-apa aksi penyelamat.
Hari Dortmund menjadi bertambah buruk apabila pemain tengah Emre Can dihukum buang padang oleh pengadil Anthony Taylor kerana mengutip kad kuning kedua selepas mengasari Neymar. Penyerang Brazil itu turut dihukum Taylor dengan kad kuning kerana reaksinya selepas dikasari.