Kempen Tottenham Hotspur di Champions League berakhir selepas mudah dijinakkan oleh RB Leipzig dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 di Red Bull Arena awal pagi waktu Malaysia tadi.
RB Leipzig – yang baru ditubuhkan 10 tahun lepas – mendahului 1-0 secara agregat selepas menang perlawanan pertama di London. Dalam perlawanan timbal balik ini, dua gol Marcel Sabitzer meletakkan Leipzig di landasan betul untuk layak.
Penjaga gol Hugo Lloris sepatutnya boleh menyelamatkan dua gol tersebut. Dalam gol pertama, beliau berjaya menampan percubaan Sabitzer. Dalam gol kedua, ia terhasil dari percubaan near post.
Emil Forsberg kemudiannya menjaringkan gol dengan sentuhan pertamanya selepas masuk sebagai pemain gantian untuk memberi Leipzig kemenangan agregat 4-0.
Spurs yang dilanda kecederaan nampak langsung tidak berupaya untuk bangkit sebagaimana yang dilakukan mereka ketika menentang Ajax pada musim lepas. Seperti musim lepas, nampak gayanya Spurs akan berputih mata tanpa trofi lagi pada musim ini.
Anak buah Jose Mourinho – yang sudah kemarau kemenangan dalam 6 perlawanan semua kejohanan ketika ini – perlu bingkas bangkit jika mahu terus bermain di Champions League pada musim depan. Mereka kini tujuh mata di belakang pasukan ‘top 4’ di Premier League.