Serie A akan tetap diteruskan buat masa ini, tetapi tanpa kehadiran penyokong selepas kerajaan Itali mengeluarkan arahan kepada setiap acara sukan di negara tersebut untuk berbuat demikian.
Sebelum ini kerajaan Itali terpaksa tidak membenarkan kehadiran penyokong dalam mana-mana acara sukan, dan situasi ini akan kekal sehingga 3 April atau untuk tempoh yang lebih panjang sekiranya ada keperluan berbuat demikian.
Cristiano Ronaldo bagaimana pun seperti mempunyai idea tersendiri untuk menghidupkan suasana perlawanan – buat dirinya.
Selepas turun daripada bas yang membawa skuad Juventus, pemain antarabangsa Portugal ini memberikan high-five seperti kebiasaan kepada penyokong yang biasanya setia menunggu ke laluan memasuki stadium.
Bezanya, tiada seorang pun penyokong yang kelihatan, dan mereka hanyalah pemnyokong imaginasi oleh Ronaldo. Sedar dirinya dirakam, Ronaldo sekadar tersenyum.
Tindakan tidak membenarkan kehadiran penyokong ke stadium oleh kerajaan Itali membabitkan perlawanan Serie A turut disokong oleh Presiden Inter, Steven Zhang.
“Dari sudut pandangan moral, sebagai presiden kelab bola sepak, dan juga pengurus kepada sebuah organisasi yang terlibat secara langsung, saya tidak boleh membenarka kesihatan manusia sejagat diletakkan di dalam risiko,” ujar Steven.
“Tak kisahlah ia perlawanan yang bagaimana. Dan tidak kisah juga sekiranya ianya 24 jam atau 48 jam akan datang, kita semua tahu situasi ini tidak akan hilang begitu sahaja.
“Perkara yang sepatutnya dilakukan adalah menolak cadangan ini. Saya pula perlu melakukan apa yang betul dari segi moral, walaupun sukar untuk berkata tidak. Tetapi kita membuat keputusan yang betul, dan semua orang sedar ia adalah perkara tepat yang harus dilakukan.”
Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) sebelum ini berkata akan terus memantau secara rapat perkembangan wabak coranavirus yang kini telah menjadi global.
Dalam kenyataan sebelum ini FIGC turut berkata tidak akan teraga-agak menggantung terus pertandingan Serie A sekiranya terdapat jangkitan membabitkan pemain, kakitangan kejurlatihan, atau pegawai perlawanan.