Pulau Pinang meraih tiga mata penuh selepas berjaya menundukkan Selangor 2 dalam perlawanan minggu kedua Liga Premier 2020 dengan keputusan 4-1, hasil hatrik penyerang, Casagrande di babak kedua di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Namun, ia bukanlah tugasan yang mudah buat anak didik Manzoor Azwira selepas hanya berjaya meledak gol pertama pasukan dan perlawanan, 10 minit sebelum babak pertama berakhir menerusi pemain tengah, Endrick dos Santos.
Selangor 2 yang dibarisi pemain-pemain muda dan berbakat negara telah sedikit sebanyak menyusahkan skuad Harimau Kumbang untuk memburu tiga mata penuh buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Liga Premier malam tadi.
Ini merupakan permulaan yang baik buat Pulau Pinang di Liga Premier berbanding yang dilalui pada musim lalu yang menyaksikan mereka tewas dalam dua perlawanan pertama liga ketika dibimbing oleh Ahmad Yusoff pada permulaan musim.
“Pada permulaan perlawanan kita memiliki beberapa peluang yang agak baik tetapi kita tidak berjaya menghasilkan jaringan. Kita tahu pemain-pemain Selangor 2 agak bertenaga dengan pemain-pemain muda dan agresif,” ujar Manzoor Azwira.
“Pemain-pemain kita agak mengambil masa dalam 10 minit pertama. Alhamdulillah, kita dapat gol sebelum tamat permainan babak pertama,” tambahnya lagi.
Ketika ditanyakan perkara yang telah disampaikannya di bilik persalinan, pengendali berusia 43 tahun itu menyatakan yang beliau mahukan pemainnya untuk lebih fokus.
“Pada babak kedua, saya menekankan kepada pemain untuk kita lebih serius dan fokus dalam membentuk serangan. Dan kita berjaya mendapat lagi tiga gol,” ujar Manzoor Azwira mengenai kejayaan menambah lagi gol di babak kedua.
Penyerang berbisa, Casagrande mempamerkan sentuhan terbaiknya di babak kedua dengan meledak hatrik pada minit ke-54, ke-63 dan ke-67 untuk Pulau Pinang terus selesa mendahului perlawanan dengan kedudukan 4-0 sehingga minit ke-88.
Endrick dos Santos yang menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-35 telah dikeluarkan di babak kedua kerana mengalami kecederaan sebelum Bajram Nebija menjaring gol saguhati pelawat dua minit menuju wisel penamat.
KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG