Tewas dalam dua perlawanan pertama musim ini secara berturut-turut sudah tentu bukan satu keputusan yang diharapkan oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak.
Tumpas kepada Johor Darul Ta’zim pada minggu lepas, Kedah kemudian tumbang pula kepada Terengganu FC (TFC) 4-3 pada Sabtu dan ianya ternyata lebih perit buat skuad Lang Merah itu kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Dalam bola sepak, memang apa sahaja boleh berlaku. Namun apa yang menjadi persoalan kini adalah taktikal yang digunakan oleh jurulatih dari Singapura itu ketika perlawanan di Stadium Darul Aman terutamanya pada penghujung perlawanan.
Pada satu ketika Kedah selesa mendahului dengan keputusan 3-1. Secara matematiknya, dua gol mengatasi pasukan lawan merupakan satu kelebihan yang baik dan ianya harus dipertahankan sebaik mungkin sehingga ke penghujung perlawanan.
Namun TFC berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-2 dan sudah tentu jurulatih dari Singapura itu perlu melakukan sesuatu supaya gawang pasukannya tidak lagi dibolosi untuk memastikan tiga mata pertama musim ini menjadi milik mereka.
Entah apa ‘ilham’ yang turun kepadanya, ketika permainan berbaki 10 minit, jurulatih berusia 42 tahun itu telah membuat keputusan untuk memasukkan pemain simpanan di bahagian serangan iaitu Farhan Roslan bagi menggantikan Hadin Azman. Adakah beliau terlalu yakin pasukannya berupaya untuk menambah gol?
Tidak pasti apakah sebenarnya perkara yang berlegar di fikiran Aidil pada waktu itu. Ketika pasukannya sedang mendahului hanya dengan satu gol dan sepatutnya berfikir untuk tidak dibolosi, beliau telah memasukkan seorang pemain sayap yang bertubuh kecil.
Adakah pemain seperti itu yang diharapkan untuk mengekang pemain lawan terutamanya jika TFC mendapat peluang menerusi sepakan percuma atau sepakan penjuru? Tambahan pula beberapa pemain import TFC jelas mempunyai kelebihan dari sudut fizikal mereka yang tinggi.
Sedangkan di dalam senarai pemain simpanan, adanya pemain pertahanan seperti Alif Yusof dan Irfan Zakaria yang tentunya cukup ‘segar’ untuk membantu pasukan bertahan pada 10 minit terakhir. Malah Azammuddin Akil juga merupakan pemain yang baik apabila beraksi di posisi pertahanan.
‘Perjudian’ beliau itu nyata tidak berbaloi kerana hanya seminit selepas pertukaran itu dibuat, Farhan Roslan telah hilang penguasaan bola dalam kotak penalti pasukan lawan ketika Kedah sedang menyerang.
TFC yang berjaya merampas bola terus melancarkan serangan balas pantas yang menghasilkan gol penyamaan menerusi jaringan hatrik Dominique da Sylva.
Untuk gol kemenangan Terengganu pula, Farhan Roslan juga jelas gagal berada di posisi yang betul dan gagal mengawal pergerakan Sanjar Shaakmedov dengan membiarkan pemain itu bebas tanpa dikawal di bahagian kiri kotak penalti.
Pemain Uzbekistan itu kemudiannya membuat umpanan kepada Dominique yang sudah bersedia di hadapan gol dan menjaringkan gol kemenangan TFC yang menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukan pelawat.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Aidil mengatakan kekalahan pasukannya adalah disebabkan pemain gagal memanfaatkan deretan peluang yang ada untuk menjaringkan gol.
“Pemain-pemain tersebut telah mencuba sehabis baik. Bukan mereka tidak mahu menjaringkan gol, cuma ini mungkin bukan hari yang baik untuk kita, mereka gagal menyudahkan peluang itu. Jika tidak, mungkin ceritanya berbeza tadi,” ujarnya.
“Apa yang penting adalah, kami perlu memberitahu diri sendiri yang kami tidak bermain baik kerana kita gagal mendapat sebarang mata. Kita perlu sedar yang kita harus mendapatkan tiga mata dalam perlawanan seterusnya.”
Untuk perlawanan ketiga Liga Super, penyokong setia Kedah sudah tentu mengharapkan Aidil mampu membuat percaturan yang lebih bijak dan tidak membuat keputusan yang akhirnya memakan diri.
Sebagai salah satu pasukan yang diletakkan sebagai pilihan untuk mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan empat pasukan teratas, Kedah yang sudah berbelanja besar untuk membawa masuk pemain-pemain berkualiti pada musim ini perlu bagkit dalam perlawanan akan datang.
Kredit Foto: MFL