Penyokong Kedah pastinya masih ingat dengan lagenda Double Treble, Nelson San Martin. Dalam perkongsian terbaharu di media sosialnya, bekas arkitek Kedah itu berkongsi gambar beliau di lapangan terbang untuk berangkat ke Malaysia.
“Going back to my country !!!” memetik kenyataan pemain yang ketika di Kedah telah mencipta nama bersama penyerang berbisa, Marlon Alex James dan pertahanan kental, Bernard Hugging ‘Outlaw’ di Liga Malaysia untuk dua musim.
Menurut perkongsian beberapa sumber, pemain tengah yang dahulu terkenal sebagai playmaker berkesan dengan hantaran-hantaran, sepakan percuma serta hantaran lintang tepat itu bakal mengendalikan sebuah pasukan di Liga Malaysia.
Tidak menamakan mana-mana pasukan, hasil pencarian di laman-laman sosial kelab serta berpandukan komentar para penyokong di gambarnya, Nelson Sam Martin dijangkakan akan menuju ke pulau lagenda, mengendali Langkawi City FC.
Langkawi City FC bermain di Liga M3 dan hasil semakan sehingga kini, mereka belum memiliki pengendali pasukan untuk saingan musim 2020. Pada musim lalu, pasukan ini telah dibimbing oleh seorang lagi lagenda Hijau Kuning, Manja Man.
Mereka menamatkan musim lalu di kedudukan ke-12 daripada 14 pasukan dan hanya dipisahkan satu mata daripada Penjara FC yang tersingkir ke Liga M4.
Berita ini turut dikongsikan oleh bekas pengendalinya, Azraai Khor Abdullah dengan memuat naik kenyataan, “Welcome back Nelson San Martin. The legend is back.”
Di era kegemilangan Kedah, Nelson San Martin, Marlon Alex James dan Bernard Hugging membentuk skuad ampuh bersama anak tempatan Kedah seperti Khyril Muhymeen, Baddrol Bakhtiar dan juga penolong jurulatih Kedah kini, Victor Andrag.
Kedah telah meraih kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sekaligus, dua tahun berturut-turut iaitu pada musim 2006 dan 2007, malah menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya melakukan Double Treble di Liga Malaysia setakat ini.
Pada 2009, ketiga-tiga pemain ini terpaksa meninggalkan Liga Malaysia apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengharamkan pemain import.
Kini, Nelson San Martin telah kembali ke bumi Darul Aman. Adakah benar Langkawi City FC akan mendapat sentuhannya sebagai pengendali pasukan?
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA