Minggu pertama CIMB Liga Super 2020 telah berlalu dengan enam perlawanan telah berlangsung bermula dengan CIMB Piala Sumbangsih yang diadakan pada Jumaat dan berakhir dengan dua perlawanan yang berlangsung pada Ahad lalu.
Perlawanan tumpuan sudah tentunya CIMB Piala Sumbangsih antara juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang juara Piala FA 2019, Kedah yang turut diambil kira sebagai perlawanan pertama liga kedua-dua pasukan.
Berikut adalah lima perkara yang mungkin menarik sepanjang minggu pertama Liga Super berlangsung. Para pembaca juga boleh menyenaraikan perkara lain yang mencuri perhatian sepanjang minggu pertama tempohari di ruangan komen.
Rahadi Azli
Penjaga gol Terengganu FC berusia 19 tahun ini telah mendapat debutnya ketika menentang Perak di Stadium Mizan Zainal Abidin pada Sabtu namun, kurang bernasib baik apabila pasukannya tewas mengejut 1-3 kepada pelawat.
Disebalik kekalahan tersebut, namanya menjadi sebutan bukan sahaja daripada pengendalinya, Nafuzi Zain, malah pengendali Perak, Mehmed Durakovic turut mengucapkan, “He did some unbelievable save tonight. So, congratulation to him.“
Debut cemerlang Brendan Gan dan de Paula
Beberapa pemain telah membuat debut mereka bersama pasukan baharu, malah debut yang mungkin akan dikenang oleh mereka dan para penyokong mereka.
Brendan Gan yang kini bersama Selangor tampil cemerlang ketika menewaskan naib juara Liga Super 2019, Pahang di Kuantan dengan satu bantuan gol dan satu gol.
Guilherme de Paula pula pastinya sudah dianggap ‘dewa’ Perak selepas meledak dua gol untuk debutnya dan mudah menewaskan Terengganu FC – yang sangat bersedia untuk musim ini, malah boleh dianggap sebagai antara pencabar mahkota liga.
Padang baharu TFC
Sejak awal musim 2017, Terengganu FC terpaksa kembali ke gelanggang lama mereka, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, akibat masalah padang serta kesan lama runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dengan kerjasama bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL), stadium tersebut kini menjadi perintis kepada projek penukaran padang bermula pada April 2019 dan telah kembali boleh digunakan untuk saingan Liga Malaysia 2020 baru-baru ini.
JDT rasmi Stadium Sultan Ibrahim
Turut mencuri tumpuan adalah penggunaan stadium baharu JDT, Stadium Sultan Ibrahim yang kali pertama digunakan dalam saingan Liga Malaysia musim ini ketika JDT menentang Kedah. Ianya dirasmikan dengan tiga mata penuh pertama.
Begitupun, JDT terlebih dahulu cemas sebelum merekodkan kemenangan sulung Liga Malaysia di stadium baharu tersebut dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan pertahanan tengah, Mauricio pada penghujung babak pertama.
Hatrik Pertama Piala Sumbangsih
Sejak 1985, ini merupakan pertama kali pasukan melakukan hatrik menjulang Piala Sumbangsih. JDT telah merangkul kejuaraan musim 2018, 2019 dan 2020. Sebelum ini, Kedah telah menghalang hajat hatrik awal mereka pada edisi 2017 yang lalu.
Rekod terbaik setakat ini hanya berjaya menjulang dua kali berturut-turut Piala Sumbangsih iaitu JDT pada edisi 2015 dan 2016, Selangor (2009, 2010 dan 1996, 1997), Perlis (2007, 2008), Perak (2005, 2006) dan Pahang (1992,1993).
KREDIT FEATURED IMAGE: JST