Sukan bola sepak adalah sukan yang indah. Tetapi ianya juga tidak boleh lari daripada keanehan. Misalnya tindakan membabi buta penjaga gol Manchester United, David de Gea melakukan menyepak liar bola di hadapan gawang sendiri, dan berjaya dihadang oleh Dominic Calvert-Lewin.
Kesilapan aneh yang sukar dijelaskan oleh penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu membawa padah apabila hadangan penyerang Everton itu menyebabkan bola bergolek ke gawang sendiri.
Sudah tentu dalam perlawanan kompetitif sebegitu, ia memberi tekanan kepada rakan sepasukan untuk membrtulkan keadaan. Mujurlah Bruno Fernandes berjaya menyamakan kedudukan untuk United, untuk perlawanan berakhir seri 1-1.
Namun itu bukan satu-satunya keanehan membabitkan penjaga gol yang berlaku pada hujung minggu lalu.
Sebelum kesilapan oleh De Gea, saingan Ligue 2 di Perancis membabitkan kelab Caen dan Grenoble turut mencuri tumpuan.
Penjaga gol Grenoble, Brice Maubleu menjadi tumpuan dalam perlawanan itu apabila beliau terbaling bola ke arah gawangnya sendiri ketika mahu segera memulakan kembali perlawanan
Kejadian berlaku ketika kedudukan 1-0, dan gol sendiri oleh Maubleu itu membenarkan Caen menewaskan Grenoble dengan jaringan 2-0.
Walaupun telah melakukan kesilapan tersebut, Maubleu masih mampu bercakap kepada wartawan yang meminta pennjelasan selepas perlawanan.
“Sering kali akan ada petang yang suram, dan ini adalah salah satu daripadanya,” ujar Maubleu membuka bicara.
“Mengenai gol tersebut, sebenarnya saya mahu melontar bola dengan pantas kepada Jerome Mombris. Tetapi beliau tidak memandang ke arah saya.
“Kerana itu saya mengubah keputusan untuk melakukan balingan, dan kemudia bola itu terlepas dari tangan. Ia situasi hampir sama yang menimpa Mandanda 8 tahun lalu.
“Adakala perkara sebegini boleh berlaku, tetapi ramai bertanggapan ia mungkin tidak akan berlaku lagi kepada orang lain.
“Saya kecewa kerana ia memberi gol kedua kepada pasukan lawan.
“Kini saya perlu kembali bekerja keras, dan terus ke hadapan. Ia seperti benda gila dikongsikan di media sosial.
“Saya pasti saya akan kembali menyelamatkan percubaan-percubaan pemain lawan, dan perkara ini saya mahu lupakan.”
Kesilapan-kesilapan muda sebegini adakalanya memberikan impak besar kepada seseorang pemain terutamanya penjaga gol. Adakalanya ada pemain yang menjadi trauma sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan diri.
Situasi sebegini pasti akan mempengaruhi prestasi mereka di atas padang, sekali gus memberi kesan kepada pasukan.
Namun bagi sebilangan pemain, ini adalah sebahagian daripada lumrah sebagai seorang pemain bola sepak. Tidak ada siapa boleh lari dari pernah melakukan kesilapan.
Apa yang penting ialah untuk pemain kembali bersemangat untuk bangkit kembali.