Badan bola sepak Eropah, UEFA akan berkumpul di Amsterdam untuk kongres tahunan pada hari ini. Topik perbincangan pasti akan menyentuh isu wabak coronavirus dan impaknya di Kejohanan Euro 2020, dan play off kejohanan tersebut yang sepatutnya berlangsung bulan ini.
Wabak tersebut sudah pun memberikan banyak masalah kepada pertandingan domestik di Itali, dengan perlawanan berprofil tinggi melibatkan Juventus dan Inter Milan antara yang telah ditangguhkan.
Pasukan kebansaan dari benua tersebut pula akan beraksi menentang satu sama lain pada akhir Mac untuk play off penting dalam merebut slot akhir ke Euro 2020.
Kejohanan itu pula akan berlangsung pada musim panas akan datang melibatkan 12 bandar utama di serata Eropah.
“Sudah pasti akan dbincangkan, topik itu memang dijangka,” ujar Mark Bullingham yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada England FA.
55 persatuan bola sepak dari seluruh Eropah yang merupakan ahli gabungan kepada UEFA dijangka akan menghadiri kongres tersebut.
“Secara asas, kita harus mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan, Kita harus bergantung kepada [arahan] tersebut.:
Playoff Euro 2020 akan berlangsung pada 26 dan 31 Mac melibatkan 16 pasukan untuk merebut baki empat slot terakhir yang akan melengkapkan senarai 24 pasukan bertanding.
Ireland Utara adalah salah satu pasukan yang akan bertandang ke Bosnia Herzegivina untuk pusingan kalah mati itu.
Ketuanya, Patrick Nelson berkata: “Kami akan berhubung secara rapat dengan UEFA. Saya tahu UEFA dan kami sendiri akan sentiasa berhubung terus dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan kami akan mengambil apa sahaja nasihat yang diberikan.
UEFA dalam satu kenyataan baru-baru ini pula berkata tiada sebab munasabah untuk melakukan perubahan kepada kejohanan tersebut yang akan diadakan selama sebulan bermula 12 Jun buat masa sekarang.
Bagaimanapun situasi semasa wabak berkenaan akan terus dipantau secara rapi.
“”UEFA akan sentiasa berhubung dengan badan dunia berkaitan, dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau penularan wabak coranavirus.
“Buat masa ini, beluma ada sebarang perubahan telah diputuskan. Isu ini akan dipantau dari masa ke semasa,” ujar kenyataan tersebut.
Presiden FIFA, Gianni Infantino pula menyifatkan kesihatan lebih penting daripada bola sepak, dan tidak menolak sebarang kemungkinan sebagai langkah membendung wabak tersebut daripada terus menular.
“Saya tidak menolak sebarang kemungkinan buat masa ini. Saya berharap kita tidak perlu sampai ke arah [membatalkan] itu. Untuk setiap kes, sukar untuk mengambil keputusan secara global, kerana situasi [di setiap negara] berbeza,” kata beliau kepada wartawan.
“Kesihatan sejagat adalah lebih penting daripada bola sepak. Kesihatan tubuh badan melebihi segala-galamya, dan kerana itulah kita perlu melihat setiap situasi, sambil berharap penularan wabak ini mulai menurun dan bukannya terus meningkat.”