‘Hanya Kovacic’: Reaksi Frank Lampard Selepas Kalah 0-3 Kepada Bayern

Chelsea

Susulan daripada kekalahan 0-3 Chelsea kepada Bayern Munich di Stamford Bridge awal pagi tadi, reaksi Frank Lampard jelas kecewa dengan jurang tahap persembahan yang ditampilkan pasukannya berbanding pelawat.

“Persembahan kami tadi buruk. Kadang-kadang kita kena jujur. [Bayern] jauh lebih baik daripada kami di semua bahagian.

“Tahap persembahan yang mereka tampilkan adalah sebab utama mereka selalu mencabar trofi di Bundesliga dan di Eropah pada setiap tahun,” kata pengurus Chelsea berusia 41 tahun itu.

Lagenda Chelsea itu turut mengaku terkejut dengan beberapa kesilapan yang dilakukan anak buahnya ketika perlawanan pusingan 16 terakhir UEFA Champions League 2019/2020 tadi.

“Kalau anda lihat di beberapa pilihan hantaran yang kami buat tadi, kami perlu perbaiki [pilihan yang dibuat].

“Adakah saya terkejut? Kalau pemain kami ada kebijaksanaan membuat pilihan, saya rasa mereka ada, mereka akan fikir dengan siapa mereka lawan dan di mana tahap persembahan yang mereka kena tampilkan.”

Hanya Kovacic layak dipuji

Daripada 11 pemain Chelsea yang turun menentang Bayern awal pagi tadi, hanya Kovacic yang mendapat pujian Lampard.

“Bila kita main macam tadi, kita kena tanya: Siapa lawan kita? Siapa pemain yang saya kena hadapi? Macam mana saya nak main lawan mereka? Jawapannya adalah kita kena salahkan diri sendiri. Bukannya salahkan orang lain.

“Ada beberapa persembahan kita, terutamanya daripada Kovacic, yang bermain dengan personaliti dan kualiti yang membuatkan anda terfikir ‘dia boleh main untuk mana-mana pasukan dengan tahap persembahan itu’. Selain daripada [Kovacic], kita gagal tunjukkannya.

Hanya Kovacic dapat pujian Lampard ketika kekalahan 0-3 kepada Bayern Munich.

“Kita pilih sistem yang menjadi pada hujung minggu lepas. Saya tahu sistem ini akan beri kesan berbeza menentang Bayern. Kita memang sengaja beri mereka penguasaan bola supaya kita ada pemain lebihan di pertahanan. Tapi pemain lebihan kita gagal. Itulah pengajaran untuk kita.”

Kritik Jorginho

Lampard turut mempersoalkan tindakan Jorginho ‘bertekak’ dengan pengadil sehingga menyebabkan beliau diberi kad kuning – dan akan digantung dalam perlawanan timbal balik di Allianz Arena minggu depan.

“Bila dia bertekak dengan pengadil, habislah dia. Ia adalah tindakan yang tak perlu memandangkan dia dah ada kad kuning.

“[Insiden kad merah] Marcos Alonso pula saya tak tengok lagi dan saya akan tengok balik lepas ini.

“Kedua-dua pemain ini akan terlepas perlawanan minggu depan. Ini peluang bagi pemain lain untuk gantikan mereka.”

Penyokong Chelsea pastinya berharap reaksi Frank Lampard dapat membuatkan pemain-pemainnya memberi respons segera daripada kekalahan ini:

“Kita kena lupakan [kekalahan] dan kembali berlatih supaya dapat main pada tahap yang kita nak. Saya nak tengok berapa cepat kami mampu bangkit untuk Premier League dan berapa cepat kami sampai ke tahap persembahan [Bayern],” jelas Lampard.

Dengan kekalahan ini, Chelsea telah mengalami lapan kekalahan di halaman sendiri pada musim ini – rekod yang kali terakhir berlaku di Stamford Bridge pada musim 1985/1986.

Ini juga merupakan kekalahan terbesar Chelsea di Stamford Bridge dalam sejarah penyertaan mereka dalam kejohanan Eropah.

Sebagai rekod, Bayern Munich membawa bekal selesa menjelang perlawanan timbal balik di Allianz Arena minggu depan selepas menang 3-0 awal pagi tadi. Dua gol Serge Gnabry, satu gol Robert Lewandowski serta kad merah Marcos Alonso lewat permainan melengkapkan malam ngeri buat Chelsea.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN