Biarpun terdapat beberapa perkara positif mula ditampilkan oleh Pahang menjelang sepak mula CIMB Liga Super 2020, masalah utama mereka masih belum selesai.
Pahang belum ada kesebelasan utama untuk berdepan Selangor dengan dua tonggak masih dalam fasa pemulihan – Mohamadou Sumareh dan Herold Goulon.
Selain itu, beberapa pemain tonggak musim lalu juga sudah meninggalkan ruang untuk diisi segera seperti posisi Safuwan Baharudin dan Matt Davies.
Pemain-pemain import baharu seperti Ivan Carlos yang masuk mengambil alih posisi Lazarus Kaimbi dilihat masih bergelut mencari rentak bersama pasukan.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh turut mengakui persiapan Tok Gajah musim ini sedikit terganggu dan hanya enam aksi persahabatan sahaja yang dilalui mereka.
“Jika diikutkan persiapan Pahang musim ini agak rumit. Bukan sahaja berdepan masalah kecederaan tapi faktor pemain import yang baru bersama Pahang.
“Saya menerima kehadiran pemain import baru agak lewat ketika saingan hampir bermula dan kini masih tercari-cari kesebelasan terbaik untuk perlawanan pertama bertemu Selangor,” jelas Dollah Salleh yang dipetik berkata kepada Berita Harian.
“Dalam perlawanan persahabatan pun kita hanya sempat mengadakan enam perlawanan sahaja dengan menyenaraikan pemain sedia ada,” tambah Dollah Salleh.
Bercakap kepada BERNAMA pula, Dollah Salleh menjelaskan yang tiada sebarang sasaran untuk Pahang musim depan dalam semua pertandingan yang disertai.
Selaku naib juara Liga Super 2019 dan semifinalis Piala FA dan Piala Malaysia, sedikit pelik apabila tiada sebarang sasaran diletakkan untuk skuadnya musim ini.
“Saya tidak berani untuk bercakap tentang sasaran tahun ini, cuma menggalas nama pasukan Pahang, kita sudah pasti mahu yang terbaik.
“Saya sendiri masih tercari-cari kesebelasan utama Pahang,” jelasnya mengenai situasi pasukan sambil menegaskan keserasian pemain perlu dibentuk dahulu.
“Kecederaan menyebabkan Sumareh tidak dapat diturunkan dalam lima atau enam perlawanan persahabatan sebelum ini, manakala Goulon sudah 20 hari tidak dapat beraksi kerana baru sembuh,” maklumnya mengenai situasi kecederaan pemain.
“Prestasi pemain import baharu, Ivan Carlos pula kelihatan goyah pada awalnya tetapi kini semakin baik dan berharap aksinya lebih baik apabila beliau mula beraksi di peringkat tertinggi,” ulas Dollah Salleh mengenai prestasi Ivan Carlos.
KREDIT FOTO: PAHANG FA