Penyokong pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai sebab yang kukuh untuk melahirakan kembimbangan dengan keberadaan Antonio German di dalam pasukan tersebut setelah penyerang import kelahiran England gagal beraksi dengan baik dalam perlawanan persahabatan tertutup menentang Terengganu FC (TFC).
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu, TFC mudah menundukkan The Cops dengan keputusan 3-0 hasil jaringan pemain pertahanan, Babacar Diallo yang menyumbat dua gol serta satu dol menerusi penyerang, Dominique da Sylva.
Ketua Jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad dalam kenyataannya kepada Berita Harian menganggap kekalahan tersebut merupakan satu pengajaran yang berguna buat dirinya dan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super yang ternyata lebih mencabar pada musim ini.
“Saya tidak kecewa dengan keputusan dalam perlawanan persahabatan kelapan itu, malah ia menjadi pengajaran yang berguna buat kami untuk melihat prestasi semasa pasukan sebelum kancah liga bermula,” kata Ishak.
“Selain itu dengan masa yang berbaki seminggu sahaja lagi ia bagus buat kami untuk melakukan persiapan lebih terperinci dalam misi untuk menjadi antara pasukan pencabar utama dalam saingan liga musim ini.”
Ishak menjelaskan kelalaian pada separuh masa pertama sehingga dibolosi tiga gol menjadi punca kepada kekalahan tersebut dan pemainnya mula menunjukkan kombinasi yang baik antara pemain import dan tempatan dan beraksi lebih baik pada babak kedua.
“Sikap pemain juga harus dipuji dan bagus kerana saling bekerjasama biarpun akui lawan lebih tersusun apatah lagi menggunakan lima import berbanding PDRM hanya tiga import, ini saya perlu realistik.
“Cuma jentera tengah dan barisan penyerang kurang berfungsi dengan baik. Penyerang import kelahiran England, Antonio German dilihat kurang menyerlah, mungkin tidak mendapat umpanan yang baik daripada pemain tengah,” ujarnya.
Tidak sampai seminggu sahaja lagi menjelang aksi pertama Liga Super bertemu Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada 1 Mac ini, masa semakin suntuk buat PDRM untuk membuat persiapan terbaik bagi memastikan mereka sekurang-kurangnya mampu kekal dalam saingan liga elit negara ini.
Kredit Foto: Terengganu FC