Real Madrid mensia-siakan peluang untuk memintas Barcelona di kedudukan teratas La Liga apabila dikejutkan oleh Levante 1-0 pada awal pagi tadi.
Barca yang akan berkunjung ke Santiago Bernabeu pada Ahad akan datang kini mempunyai kelebihan dua mata ke atas Real, selepas merekodkan kemenangan 5-0 ke atas Eibar semalam.
Sedar hanya kemenangan yang boleh meletakkan mereka kembali di puncak liga, Real menampilkan aksi kurang bermaya sepanjang perlawanan.
Malah pasukan pelawat itu terlepas deretan peluang keemasan untuk berada di hadapan sebelum Jose Luis Morales menghukum skuad kendalian Zinedine Zidane dengan satu voli cantik.
Eden Hazard terlepas peluang terbaik Real pada babak kedua sebelum pemain antarabangsa Belgium itu dikeluarkan kerana kecederaan.
Gol Levante bermula dari hantaran cantik Nikola Vukcevic yang memerangkap benteng Real. Pemain sayap, Morales pantas mengejar bola tersebut sebelum melepaskan rembatan deras dari kiri kotak penalti Real Madrid.
Gol tersebut hadir pada minit ke-79 perlawanan, bermakna Real Madrid kesuntukan masa untuk melakukan sesuatu.
Kapten Levante berusia 32 tahun itu kemudiannya dikeluarkan selepas menjaringkan hanya gol keduanya pada musim ini, tatkala rakan sepasukannya mempertahankan asakan yang diberikan oleh Real sehingga wisel penamat.
Real Madrid beraksi tanpa Gareth Bale dan Luka Jovic kerana masalah kesihatan. Kehadiran Isco dan Luka Modric adalah antara dua perubahan yang dilakukan oleh Zidane selepas seri dengan Celta Vigo minggu lalu.