Kehadiran Pep Guardiola ke England memberi satu lagi keseronokan kepada Premier League, liga yang paling popular di dunia ini.
Kami berikan 10 perkara yang anda boleh jangka daripada Pep Guardiola di Manchester City.
1) Pep adalah pemimpin utama
Pep mempunyai personaliti yang mahu disukai oleh semua orang disekelilingnya, bermula dari bilik ahli lembaga pengarah sehingga ke padang.
Apabila hubungan itu retak, Pep tidak akan berfikir panjang untuk keluar meninggalkan pasukannya.
Di Bayern Munich, Pep enggan menandatangani kontrak lanjutan dengan lebih awal sebaik sahaja hubungan Pep retak dengan 3 orang penting di sana.
Pertama dengan Presiden Bayern Munich, Karl-Heinz Rumminegge (gambar bawah); watak sama yang membawa Pep ke Jerman.
Mereka sering berkongsi kopi ketika duduk minum, namun hubungan menjadi retak apabila Rumminegge berkata pasukan tidak memerlukan Pep ketika mereka melakukan jelajah ke China.
Kedua adalah bersama Uli Hoesness (gambar bawah), individu yang menghabiskan sesi makan tengah hari hampir setiap hari bersama Pep.
Hubungan mereka menjadi regang selepas Hoesness dipenjarakan atas isu skandal mengelak cukai.
Dan terakhir bersama doktor kelab, Hans-Wilhelm Muller-Wohlfahrt (gambar bawah) yang – menurut Pep – menjadi punca masalah kecederaan pemain.
Pep seorang jurulatih yang mahukan sokongan semua pihak. Jika tiada sokongan diberikan, beliau akan pergi.
2) Interaksi peribadi dengan pemain adalah kunci
Pep merupakan contoh terbaik untuk frasa “makan bola, tidur bola”.
Beliau digambarkan sebagai individu yang tidak berhenti bercakap mengenai bola sepak sepanjang hari!
Dani Alves menyatakan pada hari-hari awal Pep di Barcelona, Pep sering membetulkan dan menerangkan apa yang beliau mahukan dari pemain-pemainnya.
Lazimnya, Pep akan menghabiskan 2 jam dengan setiap pemainnya secara peribadi untuk sesi penerangan taktikal 1v1.
Pep juga seorang yang tidak gemar melakukan permainan psikologi kepada pemain-pemainnya. Beliau akan memuji mereka apabila mereka berhak mendapat pujian.
Beliau memuji skuad Barcelona kendaliannya ketika aksi penentu kejuaraan La Liga pada 2010, menang 4-0 ke atas Villareal.
“OK semua, kamu semua adalah yang terbaik. Satu perkara saja ingin saya katakan, jika kamu semua keluar bermain dan tewas, kita akan terlepas gelaran liga.”
3) Membina pasukan di sekeliling ‘konduktor’
Di Bayern, konduktor pasukan merupakan Phillip Lahm dan Thiago Alcantara.
Tugas mereka cukup ringkas tetapi bukan mudah iaitu – memastikan permainan pasukan berjalan mengikut kemahuan Pep.
Memahami strategi dan taktikal Pep adalah kunci utama. Dan untuk memahami strategi dan taktikalnya, pemain perlu bijak.
Oleh sebab itulah Phillip Lahm dimainkan di tengah. Ini kerana daripada semua pemain Bayern, Lahm adalah pemain yang mempunyai pemahaman terbaik mengenai taktikal Pep.
Lahm mempunyai kebolehan untuk memahami taktikal Pep dengan cukup baik serta tahu bila hendak masuk ke tengah atau kekal saja posisi di bahagian tepi.
Jika Pep inginkan penguasaan bola yang menyeluruh, Thiago akan menjadi ‘konduktor’ kepada pasukan.
Asasnya mudah sahaja, dapatkan penguasaan bola dan bawa bola keluar dari zon pertahanan.
4) Peraturan 32 Minit
Ketika berjaga, Pep habiskan masanya dengan bercakap mengenai taktikal, merancang latihan, mengkaji kekuatan dan kelemahan pemain buruannya dan pihak lawan yang bakal dihadapi.
Oleh itu penolong peribadi Pep, Manel Estriate mewujudkan ‘Peraturan 32 Minit’ untuk Pep melakukan perkara luar bola sepak seperti makan bersama keluarga dan bermain dengan anak-anaknya.
Selepas itu, Pep mungkin kembali ke pejabatnya dan berfikir mengenai bola sepak semula ataupun berehat sebentar dengan tidur.
5) Seorang yang eksklusif
Pep merupakan seorang yang eksklusif apabila dengan media.
Ini bermaksud, Pep tidak akan menjawab soalan ketika temuramah 1v1 bersama media.
Sebaliknya Pep hanya akan menjawab apa saja soalan pada sidang media pada sebelum dan selepas perlawanan sahaja.
6) Struktur pertahanan itu penting
Struktur pertahanan sangat penting dalam sistem bola sepak Pep.
Maka tidak hairanlah Bayern Munich hanya bolos 49 gol dari 85 perlawanan sejak Pep tiba; dengan 50 daripadanya adalah clean sheet.
Menurut Pep:
“Strategi bertahan amat penting jika kita mahu banyak menyerang.”
Javi Martinez pernah berkata, belajar misalnya, ibarat perlu belajar ‘berjalan’ semula.
“Kami telah melakukan banyak kerja taktikal, Pep tunjukkan pada saya 200 video dan mengajar saya konsep bila saya perlu keluar bersama bola, bila perlu ‘man-mark’ dan memposisikan diri saya.”
Guardiola mahukan pertahanan yang bergerak sebagai 1 unit – jika pertahanan menekan lawan, pemain tengah ‘konduktur’ perlu turun untuk menutup bahagian belakang. Sama juga dengan pemain sayap yang melindungi ‘full-back’ nya ketika melakukan ‘overlap’.
Taktik bertahan Pep tidak berakhir apabila mendapat bola, pasukan akan bergerak secara perlahan-lahan ke pertahanan lawan dan melakukan 15 hantaran pendek sementara menukar dari mod bertahan ke menyerang dan memecahkan blok pertahanan lawan.
7) Tidak gemar tiki-taka
Bagi Pep, tiki-taka adalah satu proses ‘build-up play’ yang tiada gunanya. Maka tak hairanlah beliau pernah memberi kenyataan yang beliau ‘bencikan tiki-taka’.
Untuk mengelak pemain-pemainnya melakukan tiki-taka, Pep menerapkan ‘rondo’; satu rejim latihan dimana 8 pemain akan mengepung 2 pemain sambil menghantar bola sebanyak 30 kali sambil mengiranya dengan kuat.
Siapa yang tersilap hantar, perlu ke tengah dan mengejar bola sebagai hukuman.
Rondo juga boleh divariasikan menjadi 4v4 dengan 3 pemain ‘neutral’. Dalam situasi ini, pasukan A perlu mengawal bola dan jika mereka hilang bola, mereka perlu melakukan ‘counter pressing’.
Untuk jadikan proses itu berjaya, tahap kecergasan perlu berada di tahap tertinggi.
Sebab itu, Pep mengadakan sesi latihan berganda ketika pra-musim dan semua latihan mesti melibatkan bola dan tidak hanya berlari semata-mata.
Phillip Lahm merasakan rejim latihan itu amat sukar pada mulanya,
“Tapi rejim ini penting selepas kami sudah menang segalanya, Pep mahu mengajar kami perkara baharu.”
8) Bersifat inovasi
Pep menganggap formasi tidak lebih dari ‘sebuah nombor telefon’.
Inovasi terhebat Pep adalah menjadikan Messi sebagai ‘false 9’ ketika perlawanan El Clasico pada Mei 2009 dimana Barca menang 6-2 di Madrid.
False 9 dicipta untuk mengaburi garis antara penyerang dengan pemain tengah.
Di Bayern, Jerome Boateng dan David Alaba pula digunakan untuk mengaburi garis antara barisan tengah dengan pertahanan.
9) Ruang untuk pemain terbaik
Strategi Pep adalah untuk memastikan pemain terbaik pasukan tidak ditutup ruangnya apabila menyerang.
Di Bayern, apabila Frank Ribery menguasai ‘half-space’ dengan melakukan ‘cut-inside’, David Alaba perlu melakukan ‘overlap’ dan pemain tengah perlu ke posisi Alaba untuk mengisi tempat yang ditinggalkan.
Pada mulanya, taktik ini sukar untuk dilaksanakan. Pep sering berang apabila strategi itu tidak berjaya dilakukan oleh pemainnya.
Tetapi lama-kelamaan, gerakan serangan pemain-pemain Pep menjadi seperti sebuah ‘orkestra’.
10) Kepentingan ‘third man’
Jika permainan dibuka dibahagian kanan, pemain di bahagian kiri perlu berada rapat di garis tepi kiri padang.
Ini untuk memastikan ‘pemain terbaik’ – dipanggil third man- pasukan mempunyai ruang secukupnya untuk bergerak.
Lihat penerangan Theirry Henry mengenai falsafah Pep mengenai fungsi ‘third man’ ini:
https://www.youtube.com/watch?v=fB9jpteTgH0
Baca juga : City Mengeluh Sasaran Mereka Terlalu Mahal