Pundit dan penganalisis Sky Sports, Gary Neville berpendapat Manchester City akan menang kes rayuan terhadap hukuman gantung selama dua tahun dari pertandingan bola sepak Eropah yang dikenakan ke atas kelab tersebut oleh Konfederasi Bola Sepak Eropah (UEFA).
City berhadapan hukuman gantung selama dua tahun akibat melanggar peraturan kewangan UEFA, dimana situasi tersebut hanya membenarkan rayuan dilakukan kepada Mahkamah Timbang Tara (CAS).
“Saya berpendapat City akan mengalahkan FFP,” kata Neville.
“Saya tidak mempunyai keyakinan kepada UEFA untuk melakukan perkara yang betul. Saya berpendapat keputusan [hukuman] itu akan terpaksa diubah.
“Saya tidak pernah yakin dengan mereka, saya melihat mereka sebagai sebuah organisasi yang tidak berguna yang hanya tahu menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.
“Saya rasa City boleh menewaskan mereka di mahkamah. Ia akan berlarutan di mahkamah tetapi akhirnya City akan menang.”
Neville juga berpendapat pemain Manchester City tidak akan angkat kaki secara beramai-ramai ekoran keputusan oleh UEFA itu.
“Saya tidak melihat bagaimana ramai pemain akan pergi begitu sahaja dari Manchester. Pemain akan menunjukkan kesabaran, terutama yang melihat perkara secara jangka masa panjang.
“Tetapi dari segi persepsi, ia sudah tentu memberikan mereka sedikit masalah.”
Rakan Neville di Sky Sports, Jamie Carragher turut bersependapat dan beranggapan tindakan UEFA itu sebagai terdesak untuk melihat skuad kendalian Pep Guardiola tidak memenangi kejohanan tersebut pada musim ini.
“Bagaimana jika City muncul juara eropah pada musim ini? Mereka adalah pilihan dan salah satu pasukan terbaik di pertandingan ini,” kata Carragher.
“Ia pasti seperti satu penghinaan [kepada UEFA sekiranya City juara].
“Situasi terkini pasti UEFA amat terdesak untuk Real Madrid menyingkirkan City [pusingan kalah mati.].
“Bolehkah anda bayangkan bagaimana UEFA akan menyampaikan trofi kepada pemain City di akhir musim?
“Soalan pertama yang akan ditanya kepada Pep Guardiola selepas perlawanan akhir itu adalah adakah kemenangan tersebut satu penipuan?
“Beliau juga pasti ditanya sama ada [City] wajar terus bertanding musim ini. Jika City menang, maka ia adalah ralat [Oleh UEFA].
“Jika benar City bersalah, UEFA seharusnya menyingkirkan City dari pertandingan eropah musim ini juga, atau membenarkan keputusan dibuat selepas tamat saingan musim ini.”