Mohamed Salah berpeluang untuk mewakili negaranya Mesir, untuk aksi di Sukan Olimpik Tokyo pada musim panas tahun ini.
Namun ia juga bergantung kepada kemahuan pemain itu sendiri, dan sama ada Liverpool mengizinkan pemain itu untuk menyertai pasukan negaranya.
Bintang Liverpool berusia 27 tahun itu berada di dalam senarai 50 pemain skuad kebangaan Mesir untuk temasya sukan tersebut, yang akan berlangsung pada 8 Ogos.
Tarikh tersebut merupakan hari pertama sepak mula kepada musim 2020/21 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Acara bola sepak di Sukan Olimpik dikhususkan untuk pemain berumur di bawah 23 tahun, namun peraturan pertandingan membenarkan penyertaan sehingga tiga pemain lebih usia.
“Kita tidak boleh memaksa Salah menyertai kita,” ujar Ketua Jurulatih Mesir, Shawky Gharib.
“Penyertaan Salah bersama Mesir di Sukan Olimpik adalah terpulang kepada beliau sendiri, Liverpool, dan juga kehendak Jurgen Klopp.
“Saya hanya boleh meletakkan nama beliau di dalam senarai awal 50 pemain. 18 pemain terakhir akan ditentukan pada Jun nanti.”
Peraturan FIFA tidak memaksa mana-mana pemain dipanggil wajib untuk menyertai pasukan kebangsaan untuk acara di Sukan Olimpik.
Di dalam situasi Mohamed Salah, Liverpool dan Klopp mungkin mahukan pemain itu utnuk berada di England dalam memastikan kelab Merseyside itu membina momentum di awal musim.
Namun peluang beraksi di Sukan Olimpik bukan sesuatu yang boleh dimiliki oleh setiap atlet. Semuanya tetap bergantung dengan Salah sekiranya beliau mahu beraksi atau tidak untuk negaranya.