Aidil Sharin Tuntut Pemain Import Kedah Pamer Prestasi Lebih Baik

kedah fc seoul kelayakan acl 2020

Edisi kedua kejohanan pra-musim antara Kedah dan Perak, dikenali dengan nama Unity Shield akan diteruskan pada musim ini dan kali ini ianya bakal dilangsungkan di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu ini.

Kedah sudah agak lama bersedia untuk perlawanan tersebut apabila telah mengadakan sesi latihan pra-musim lebih awal kerana persediaan untuk dua perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.

Dalam kelayakan ACL 2020 tempohari, Kedah terlebih dahulu menang ke atas wakil Hong Kong, Tai Po FC dalam pusingan kedua sebelum tunduk 1-4 kepada wakil Korea Selatan, FC Seoul di pusingan play-off.

Sementara Perak pula, baru pulang daripada Jelajah Pra-Musim di Singapura yang menyaksikan mereka menang 4-0 ke atas Geylang International FC dan terikat 1-1 menentang Balestier Khalsa FC.

Bercakap kepada Semuanya BOLA, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap menganggap Perak adalah pasukan yang kuat biarpun agak lewat membuat persediaan pra-musim dan perlawanan pemanas badan.

Ini kerana, menurutnya, Perak kurang membuat perubahan dalam senarai pemain mereka daripada musim lalu dan terdapat beberapa pemain berpengalaman yang mampu mengukuhkan pasukan musim ini.

Bercakap mengenai peluang Kedah untuk mengatasi Perak pada Sabtu, Aidil Sharin masih berhati-hati dengan kemampuan lawan terutamanya dua pemain import iaitu Careca dan Leandro.

“Perak tidak membuat banyak perubahan [pasukan], jadi mereka masih pasukan yang baik. Mereka juga memiliki ramai pemain berpengalaman, tempatan mahupun import,” ujar Aidil Sharin.

“Kita perlu berjaga-jaga terutamanya dengan Careca. Leandro pula akan ganggu mental pemain-pemain kita,” jelas pengendali berusia 42 tahun itu mengenai pemain berbahaya The Bos Gaurus nanti.

Ketika ditanya prestasi pemain-pemain import baharu, Aidil Sharin dilihat enggan memperincikan lebih mendalam, namun menyatakan yang mereka bermain baik tetapi beliau mahukan prestasi lebih baik.

Kpah Sherman dan Kipre Tchetche sudah dilihat mempamerkan sentuhan dan prestasi yang baik bersama Kedah setakat ini, namun pemain tengah, Amin Nazari dilihat belum menyerlah kemampuan sebenarnya.

Aidil Sharin turut mengesahkan belum lagi memikirkan mengenai kesebelasan utama pasukan untuk berdepan Perak nanti, namun menurutnya, semua pemain berada dalam tahap terbaik untuk diturunkan.

KREDIT FOTO: KEDAH FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN