Ousmane Dembele telah mengalami kecederaan harmstring yang serius selepas kembali menjalani latihan bersama Barcelona. Dembele sebelum itu tidak beraksi sejak November lalu.
Kecederaan tersebut menyebabkan pemain antarabangsa Perancis berusia 22 tahun itu terpaksa menarik diri dari latihan pada Isnin lalu.
Ujian yang dilakukan oleh pihak kelab telah mengesahkan kekoyakan serius pada harmstring di sebelah paha kanan.
Dembele yang hampir pulih dari kecederaan otot di bahagian sama yang dialaminya dalam perlawanan menentang Borussia Dortmund di pertandingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 27 November lalu.
Untuk kecederaan terkini pemain tersebut, Barcelona berkata akan memutuskan kaedah rawatan dalam masa terdekat.
Akhbar Sepanyol, Marca pula mendedahkan Dembele tidak akan mampu beraksi lagi pada musim ini akibat kecederaan tersebut.
Dembele telah melalui pelbagai kecederaan sejak menyertai Barcelona dari Dortmund pada 2017.
Pemain itu hanya beraksi tiga perlawanan penuh untuk juara bertahan La Liga itu pada musim ini, dan terlepas 63 perlawanan keseluruhan di semua pertandingan bersama Barcelona akibat kecederaan.
Rakan sepasukan Ousmane Dembele di skuad kebangsaan Perancis, Kylian Mbappe turut memberikan kata-kata sokongan buat Dembele melalui ciapan di Twitter.
“Sahabatku, saya tahu dugaan ini berat dan amat sukar, tetapi anda harus kekal kuat walau apa sekalipun.
“Sudah tentu lebih mudah untuk berkata-kata dari melakukannya, tetapi saya akan terus memberikan sokongan, dan tahu anda akan kembali mengujakan kami semua,” kata Mbappe.