Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengkritik Inter Milan kerana membida Christian Eriksen pada masa yang dianggap tidak sesuai.
Pemain tengah Denmark itu dijangka akan terbang ke Itali minggu akan datang untuk melengkapkan perpindahan ke San Siro.
Inter dikaitkan dengan Eriksen sepanjang jendela perpindahan Januari ini, namun perpindahan tersebut tidak direalisasikan sehingga ke minggu terakhir.
“Tottenham akan menjadi pihak terakhir untuk dipersalahkan kerana situasi ini,” kata Mourinho.
“Saya cuma mahu berkata situasi sebegini tidak sewajarnya berlaku pada 25hb Januari.
“Perkara yang saya boleh beritahu mengenai Eriksen sejak saya tiba di sini ialah beliau bersikap amat profesional terhadap saya dan pasukan.
“Tetapi untuk pergi pada 25hb Januari adalah perkara yang tidak bagus.”
Eriksen tidak berada di dalam skuad Tottenham yang berhadapan Southampton di pusingan keempat Piala FA semalam. Namun pemain itu sentiasa berada di dalam perancangan Mourinho dalam perlawanan-perlawanan lain sebelum ini.
Pemain antarabangsa Denmark itu sebelum ini secara terbuka berkata mahukan cabaran baharu, dan kontrak beliau bersama kelab London itu akan berakhir pada hujung musim ini.
Sebelum ini Inter Milan telah menawarkan £8.5 juta untuk pemain kebangsaan Denmark itu. Mereka juga menawarkan kontrak 4 tahun kepada Christian Eriksen.
Jika Inter berjaya meyakinkan Spurs untuk menjual pemain itu Januari ini, maka 6 bulan lagi akan dimasukkan dalam tawaran kepada Eriksen.
Namun Spurs tidak menerima tawaran itu kerana masih mahu mendapatkan angka yang lebih besar. Tawaran Inter Milan itu dilaporkan separuh daripada apa yang diminta oleh Spurs.