Kelantan meneruskan rekod baik mereka dalam aksi persahabatan pra-musim selepas terikat 1-1 dengan kelab divisyen dua Thailand, Nara United di Stadium Sultan Muhammad IV pada Sabtu.
Pemain muda sensasi The Red Warriors (TRW), Nik Akif Syahiran muncul penyelamat apabila jaringannya pada penghujung permainan menyelamatkan maruah pasukannya dari dimalukan di hadapan ribuan penyokong yang hadir ke stadium.
Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah membariskan kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan ini termasuk empat pemain importnya, namun Nara United terlebih dahulu menghukum pasukan tuan rumah dengan gol pendahuluan menerusi rembatan kencang Khoiree Abdullah pada minit ke-18.
Tersentak dengan jaringan pelawat, tuan rumah kembali memperkemaskan corak permainan bagi mencari gol penyamaan. Gandingan dua penyerang import, Felix Chidi Odili dan Rhulani Manzini tidak berhasil memberi impak dan yang diharapkan dan gagal menembusi barisan pertahanan pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, Kelantan cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan namun beberapa peluang terhidang menerusi gagal disudahkan dengan baik.
Dua pemain tempatan berpengalaman yang baru menyertai pasukan musim ini, Wan Zaharulnizam dan Nazrin Nawi turut mendapat beberapa peluang namun segala percubaan mereka gagal menghasilkan gol yang dicari.
Yusri bertindak melakukan pertukaran dengan memasukkan Mohamad Amirul Shafik Che Soh dan Mohd Khairul Asraf Ramli sambil mengeluarkan Manzini dan Kang Seung-Jo pada minit ke-80.
Hasilnya dua minit lepas itu, Nik Akif Syahiran menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah apabila meledak jaringan penyamaan menerusi rembatan jarak dekat yang gagal diselamatkan penjagal gol, Jaridet sekaligus menggamatkan suasana di dalam stadium dengan sorakan penyokong.
Keputusan seri 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan.
Kredit Foto: Kelantan FA