Ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan menuntut aksi terbaik anak buahnya pada persaingan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 yang akan bermula esok.
Kejohanan yang turut menampilkan True Bangkok United FC, Hanoi FC dan Persib Bandung itu bakal diadakan di Stadium Shah Alam.
Menurut sumber Bernama, Satiananthan turut mengakui bahawa kejohanan tersebut bakal menjadi medan yang cukup berguna buat barisan pemain Selangor.
“Sememangnya ia satu kejohanan yang bagus, ia akan memberi peluang kepada penyokong untuk melihat pemain baharu beraksi, tetapi ini adalah pra-musim jadi keputusan tidak penting yang menjadi tujuan utama kami adalah persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain.”
”Dengan kecederaan yang dialami oleh Nor Hakim Hassan saya tahu ia kehilangan besar buat kami tetapi saya yakin dengan pemain lain.”
”Ada dua tiga pemain bawah 21 juga saya lihat mereka boleh beraksi dengan baik jadi saya berharap mereka bermain dengan bersungguh-sungguh kerana kita akan menentang pasukan terbaik,” ujar Satiananthan dalam sidang media pra-kejohanan.
Kejohanan dua hari itu menyaksikan setiap pasukan akan bermain dua perlawanan dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.
Sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Piala Emirates di Eropah.
Kredit foto: FA Selangor