Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak ketika dihubungi Semuanya BOLA memaklumkan yang Kedah akan beraksi tanpa dua pemain utama musim lalu di bahagian benteng ketika berdepan Tai Po FC pada Selasa.
Dua pemain tersebut adalah Shakir Hamzah dan bek kiri, Azmeer Yusof. Kehilangan kedua-dua pemain ini pastinya akan dirasai kerana mereka adalah tonggak utama benteng sepanjang musim 2019.
Shakir Hamzah masih perlu melalui penggantungan akibat layangan kad merah dalam aksi terakhirnya di Piala AFC 2018 bersama Home United di separuh akhir antara zon menentang kelab Korea Utara, April 25.
Sementara bek kiri, Azmeer Yusof pula masih dibelenggu masalah kecederaan dan kecergasan yang belum maksimum, memaksanya diketepikan sepanjang persediaan pra-musim Kedah baru-baru ini.
“Shakir [Hamzah] tidak boleh main untuk perlawanan ini [Tai Po FC] kerana dia masih ada kad merah ketika beraksi bersama Home United [di Piala AFC 2018],” maklum Aidil Sharin mengenai status pemainnya.
“Saya memang sudah maklum awal mengenainya, tetapi saya tidak mahu terlalu besar-besarkannya. Sebab itu di Kemboja, saya telah cuba Irfan [Zakaria], Alif [Yusof], Zulkhairi [Zulkeply] dan Loqman [Hakim].
“Kami akan bermain dengan kekuatan yang ada dan strategi yang dirancang,” jelasnya lagi mengenai kehilangan kedua-dua pemain dan bagaimana Kedah akan melalui aksi menentang Tai Po FC nanti.
Bercakap mengenai tahap kebersediaan Kedah untuk aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020, pengendali berusia 42 tahun itu berkata yang para pemain telah bersedia dan tidak sabar untuk beraksi.
“Alhamdulillah, semua nampak bersedia dan tidak sabar untuk bermain kerana kita bermula awal pra musim untuk persediaan aksi ini,” jelasnya sambil menjelaskan sudah ada bayangan skuad utama.
“Ya, saya sudah ada hampir 90 peratus skuad utama saya tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Dua jam sebelum bermula pun boleh berlaku sebarang pertukaran,” tambah Aidil Sharin lagi.
Kedah akan berdepan Tai Po FC pada Selasa di Stadium Darul Aman untuk aksi pusingan kedua kelayakan ACL 2020 dan jika berjaya melepasinya, Kedah akan berkunjung ke Korea Selatan bertemu FC Seoul.
Kredit Foto: FA Kedah