Pembantu jurulatih skuad Liga Premier, Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli ketika ditanya Semuanya BOLA, dipetik berkata, sudah menjadi cita-citanya bergelar jurulatih dan jika dirinya berpeluang melatih Kedah satu masa nanti, ia cukup menarik.
Pulau Pinang telah melantik bekas penyerang skuad kebangsaan yang memiliki Lesen A itu sebagai pembantu Manzoor Azwira hampir sebulan yang lalu selepas pengendali Pulau Pinang itu sendiri yang mencadangkan pelantikannya sebagai pembantu.
Ia jelas satu peluang yang dinantikannya untuk menimba ilmu melatih pasukan yang beraksi di Liga Malaysia dan untuk berada bersama Manzoor Azwira, ia peluang yang sukar untuk dilepaskan.
“Ya, memang itulah impian saya [menjadi ketua jurulatih] apabila sudah menceburi bidang kejurulatihan, tetapi dalam setahun, dua ini saya mahu dapatkan pengalaman terlebih dahulu,” tuturnya.
“Saya beruntung dapat bersama coach Manzoor, kerana beliau seorang coach yang berpengalaman dengan bola sepak moden dan sentiasa berkongsi idea pada semua staf kejurulatihan.
“Jika berpeluang melatih pasukan Kedah, ia adalah sesuatu yang cukup menarik kerana ia tempat saya membesar sebagai pemain bola sepak,” ujarnya ketika ditanya minatnya untuk melatih Kedah.
Merupakan produk yang dilahirkan oleh Kedah, Akmal Rizal telah beraksi di Perancis sekitar 20 tahun lalu bersama RC Strasbourg dan FCSR Haguenau, namun akibat masalah kecederaan serius, jurulatih berusia 38 tahun itu akhirnya pulang ke Malaysia.
Bersama FCSR Haguenau, pengendali yang mesra disapa Dekman itu meledak banyak gol dan menurutnya beliau adalah penjaring terbanyak, malah berpeluang melalui ujian pemilihan bersama CS Sedan di Divisyen Satu, tetapi terkubur dek kerana kecederaannya.
Pengalaman luasnya di peringkat kelab dan negara inilah yang ditagih oleh Manzoor Azwira untuk mengasah jentera serangan Harimau Kumbang dan menurutnya mudah buatnya menurunkan ilmunya ke dalam latihan kerana beliau faham keperluan pemain.
“Memang satu tanggungjawab yang besar, tetapi saya yakin dapat mencurahkan segala pengalaman saya sebagai pemain terutama untuk membantu jentera serangan agar menjadi lebih baik.
“Ini karier pertama saya untuk mengendalikan skuad senior dalam Liga Premier. Saya juga berterima kasih pada coach Manzoor yang memilih sendiri unukt saya membantu beliau,” tambahnya lagi.
Kredit Foto: FA Penang