Hilang Lapan Tonggak, Kem Kedah Dilanda Virus Demam Di Kemboja

Kpah Sherman Kedah 2020 Pra Musim

Kem Kedah yang ketika ini berada di Kemboja dikhabarkan sedang dilanda virus demam dan menurut pengendali, Aidil Sharin Sahak yang telah dihubungi oleh Semuanya BOLA kelmarin, seramai lapan pemain sedang menerima rawatan akibat virus tersebut.

Empat pemain adalah tonggak pertahanan sementara bakinya adalah penyerang, pemain tengah dan juga penjaga gol. Sedikit sebanyak ia merencatkan perancangan Aidil Sharin ketika ini.

Namun, menurutnya, semua perancangan yang telah disusun di sana berjaya dilaksanakan walaupun ada sesetengahnya gagal mencapai keputusan 100 peratus akibat masalah kesihatan.

Antara pemain yang mengalami demam adalah Kpah Sherman, Khairul Helmi, Renan Alves, Shakir Hamzah, Zulkhairi Zulkeply, Amin Nazari, Aiman Afif dan penjaga gawang, Shahril Saa’ri.

“Betul, lapan pemain kita demam dan suasana di sini agak kurang baik. Virus itu mungkin bergerak,” jelasnya sambil menyatakan semua yang terlibat sudah mendapatkan rawatan sepatutnya dan keadaan mereka pada hari ini beransur baik berbanding semalam.

Semuanya BOLA sebelum itu melihat status Instagram penyerang baharu Kedah, Kpah Sherman yang menunjukkan dirinya demam dan telah dikecualikan untuk aksi berdepan Angkor Tiger. Jelas, Aidil Sharin kehilangan sentuhan penyerang yang semakin serasi dengan rentak dan perancangan taktikal pasukan setakat ini.

Selepas meledak hatrik berdepan Beoung Ket FC, Kpah Sherman terpaksa disisihkan dan tempatnya diambil alih oleh seorang lagi penyerang baharu Helang Merah, Kipre Tchetche, namun tiada sebarang jaringan mampu dihasilkan oleh penggantinya itu.

Mengakui penyerang skuad kebangsaan Liberia itu sangat cepat serasi dengan skuadnya, pengendali kelahiran Singapura itu juga berpuas hati dengan komitmen yang diserlahkannya ketika ini.

“Alhamdulillah, [Kpah] Sherman cepat serasi dengan pasukan dan semua pemain mudah bekerja dengannya,” jelas Aidil Sharin.

Begitupun, status kecergasan pemain itu serta tujuh lagi rakannya masih diragui untuk aksi terakhir di Kemboja dan barisan jurulatih akan melihat semula keadaan serta situasi mereka pada hari ini.

Malam ini, Kedah akan berdepan Phnom Penh Crown FC untuk aksi terakhir Kejohanan Pra-Musim 2020, Piala Smart RSN di Kemboja. Kedah telah merekodkan tiga menang dan satu kekalahan.

Kedah menang ke atas Angkor Tiger (1-0), Visakha FC (1-0) dan Beoung Ket FC (4-1) selain kalah 2-3 kepada Nagaworld FC.

Kredit Foto: Kedah FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN