‘Ukur baju di badan sendiri’. Mungkin ini pepatah Melayu yang paling tepat untuk menggambarkan situasi terkini yang menyaksikan semakin ramai pemain berpengalaman yang tidak diambil oleh mana-mana pasukan disebabkan menuntut gaji yang terlalu tinggi.
Bekas kapten skuad kebangsaan, Muhammad Shukor Adan ketika ditemubual Stadium Astro beranggapan isu gaji dalam kancah bola sepak negara ketika ini merupakan situasi paling buruk sepanjang 24 tahun beliau bermain bola sepak.
Menurut pemain baharu Kuala Lumpur itu, pada musim ini hampir setiap pasukan menurunkan perbelanjaan pasukan dan ia telah memberi kesan kepada hampir 200 orang pemain senior yang terpaksa menerima tawaran gaji yang lebih rendah.
Gaji Pemain Liga Malaysia Susut 50% Sejak Dua Tahun Lalu – https://t.co/82dNBuIhk2 pic.twitter.com/rOszf1OlsT
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 2, 2020
Pada musim lepas, beberapa pemain berpengalaman seperti Manaf Mamat, Zamir Selamat, Azidan Sarudin, Azmi Muslim dan ramai lagi pemain sukar mendapat pasukan baharu yang bermain dalam liga utama dan akhirnya mereka terpaksa menyertai pasukan-pasukan yang bermain di liga komuniti.
Tambah Shukor lagi, menjelang musim 2020 yang akan bermula tidak lama lagi, era profesional yang dilaungkan diibaratkan seperti ‘jauh panggang dari api’ kerana masalah gaji masih kerap berlaku dan ia menunjukkan tiada jaminan sebenar untuk pemain bola sepak.
“Semua pasukan telah melakukan pemotongan kos yang tinggi dan mereka tidak boleh bersaing dengan pencabar lebih besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Kedah. Saya rasa ini adalah salah satu sebab mengapa masih ada pemain berpengalaman yang tiada pasukan.
“Mungkin kami sebagai pemain senior perlu tahu batasnya. Apabila sudah tahu setiap pasukan akan mengehadkan perbelanjaan, pemain harus terima,” kata pemain berusia 40 tahun itu.
Shukor Adan Beri Melaka United Tiga Hari Selesaikan Isu Gaji Tertunggak – https://t.co/a3LCz2iUve pic.twitter.com/dJQHD741Ap
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 25, 2019
Bagi Shukor, amat sukar bagi mana-mana pemain senior yang menanggung komitmen lebih tinggi untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas penurunan gaji ketika ini mencecah sehingga 60 peratus.
Namun demikian, beliau berpesan kepada semua pemain supaya tidak terlalu tegar dengan menuntut gaji tinggi sehingga menyebabkan tiada pasukan yang mahu mengambil mereka bermain.
“Jika ada pasukan yang inginkan khidmat pemain dan tawaran diberikan berpatutan dengan kehidupan, mengapa tidak untuk mengambilnya sebagai permulaan semula.”
Kredit Foto: Kuala Lumpur Hawks