Ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim mendedahkan bahawa pasukan bimbingannya itu memiliki misi serampang dua mata bagi pada tahun 2020.
Di samping berhasrat untuk membekalkan pemain muda berkualiti ke skuad utama [Liga Super Perak], Abu Bakar turut melihat Liga Premier 2020 sebagai medan terbaik bagi Perak dalam usaha mengekalkan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali keempat berturut-turut.
”Ini adalah satu pasukan yang baru, kita akan dapatkan persefahaman di antara bekas pemain Liga Super Perak bersama-sama skuad juara SUKMA 2018, pasukan Piala Presiden PKNP FC dan juga Perak.”
”Majoritinya adalah anak jati Perak. Bagi saya ini adalah pentas untuk kita mengambil cabaran ini kerana kita mempunyai dua persiapan.”
”Persediaan pertama ialah Liga Super, di mana kita akan beri banyak pilihan kepada ‘Coach’ Mehmed [Durakovic] untuk menilai prestasi pemain Perak II,” ujar Abu Bakar bercakap kepada wakil Semuanya BOLA ketika ditemui di Stadium Perak.
”Yang kedua adalah persiapan bagi menghadapi SUKMA, pasukan SUKMA kita mengintai peluang untuk layak buat kali kelima berturut-turut kita layak ke perlawanan akhir.”
”Ini merupakan cabaran yang besar. Sekiranya mereka tidak mampu menyesuaikan diri dengan permainan di tahap tertinggi, kita hanya akan mendapat pilihan pemain yang terhad.”
”Saya harap peluang ini dapat dimanfaatkan dengan baik oleh para pemain Perak II.”
Sebagai rekod, skuad SUKMA Perak berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir sejak SUKMA 2012 di Pahang, namun mereka tumpas 0-3 di tangan Sabah. Bangkit dari kekecewaan tersebut, tiga edisi seterusnya [2014, 2016 dan 2018] berjaya didominasi skuad ‘Yob Muda’ ini.
Dalam perkembangan yang sama, Abu Bakar turut mendedahkan akan membawa masuk seorang penyerang yang beraksi bersama sebuah pasukan dari Utara tanah air secara pinjaman. Pengalaman pemain tersebut ditagih untuk memberikan bimbingan yang berguna buat pemain muda Perak II.
Kredit foto: PKNP FC