Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan pelantikan pengurus baharu skuad Liga Malaysia, Mahfizul Rusydin sebentar tadi.
Mahfizul bukanlah watak yang asing di dalam kancah saingan Liga Malaysia, dengan pengalaman selama 13 tahun bersama PKNS FC.
Sebelum menyertai FAS, beliau adalah pengurus pasukan PKNS FC.
PKNS FC telah digabungkan di bawah pengurusan FAS baru-baru ini, dalam usaha badan itu melakukan penstrukturan semula bola sepak di negeri tersebut.
Ketibaan Mahfizul adalah untuk menggantikan Datuk Rauf Ahmad yang merupakan pengurus pasukan The Red Giants sejak 2007 lagi.
Selamat datang FA Selangor ucapkan kepada Mahfizul Rusydin yang telah dilantik sebagai Pengurus Pasukan Selangor untuk musim 2020.
Beliau merupakan bekas Pengurus pasukan PKNS FC dan telah berkecimpung di dalam pengurusan bola sepak selama 13 tahun.#RedGiants#KitaAdalahSatu pic.twitter.com/ogfX8QTTQb
— Selangor FC (@selangorfc) December 19, 2019
Dalam perkembangan yang sama, FAS turut mengumumkan bekas pemain, Nazzab Hidzan akan kekal sebagai Penolong Pengurus pasukan Selangor bagi musim 2020.
“Semoga pengalaman beliau sebagai pemain bola sepak yang berjaya suatu ketika dahulu mampu membantu Mahfizul dalam memacu pasukan Liga Super Selangor 2020 ke arah kecermelangan,” ujar kenyataan FAS dalam pengumuman tersebut.
Dalam perkembangan lain, Selangor turut mengesahkan akan mengambil bahagian dalam satu kejohanan jemputan antarabangsa yang akan berlangsung di China.
Kejohanan tersebut akan mengambil tempat pada 24 hingga 29 Januari 2020.
Selain daripada kelab Liga 1 China, Meizhou Hakka FC, dan Selangor FA, dua kelab lain yang akan mengambil bahagian adalah Chonburi FC daripada Thailand, dan Sangju Sangmu FC dari Korea Selatan.