Tiga kelab dari rantau Asia Tenggara selain Selangor sudah pun mengesahkan penyertaan untuk Kejohanan Asia Challenge 2020 yang akan berlangsung pada 19 – 20hb Januari hadapan.
Kejohanan Asia Challenge 2020 merupakan kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk mempersiapkan skuad The Red Giants menghadapi kempen Liga Malaysia pada musim hadapan.
Tiga kelab yang sudah mengesahkan penyertaan adalah Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).
“Kejohanan selama dua hari itu bertujuan untuk memberi ‘isyarat’ dan aspirasi bahawa kita sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Liga-M dan menjadi antara kelab bola sepak terunggul di Asia suatu hari nanti,” kata Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon kepada pemberita semalam
“Kita bawa pasukan terbaik dari negara jiran untuk bersaing di sini dengan kita.
“Untuk edisi pertama ini, kita anjurkan perlawanan dengan pasukan dari negara Asean. Selepas ini, mungkin negara Asia lain pula.”
Kejohanan itu akan menjadi platform terbaik untuk Selangor mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya, selain mengatur strategi untuk layak ke pertandingan Asia pada 2021.
Penyokong yang mahu menyaksikan perlawanan tersebut pada Januari hadapan sudah boleh mendapatkan tiket masing-masing menerusi laman web FAS.
Penyokong juga boleh mendapatkannya pada hari kejohanan dengan harga RM15 bagi pemegang kad Red Giants dan RM30 bagi bukan pemegang kad manakala untuk kanak-kanak adalah RM5.