Bekas pemain PKNS FC, Akram Mahinan telah sah menyertai kem Kuala Lumpur untuk saingan Liga Premier musim hadapan. Ianya telah diumumkan menerusi laman Facebook Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), pada lewat petang semalam.
Pemain berusia 26 tahun itu memiliki pengalaman luas di peringkat domestik dan juga antarabangsa terpaksa meninggalkan PKNS FC selepas pasukan tersebut bergabung dengan Selangor dan telah dijadikan sebagai skuad simpanan dengan nama Selangor II.
Memiliki 26 penampilan bersama skuad kebangsaan serta masih aktif sebagai antara pemain utama Harimau Malaya bakal memberi impak yang positif buat Kuala Lumpur yang baru sahaja diturunkan pangkat ke saingan Liga Premier untuk saingan musim 2020.
Pada musim 2019, Kuala Lumpur menamatkan musim di dasar Liga Super dengan mengumpul 14 mata daripada empat kemenangan, dua keputusan seri dan 16 kekalahan – hanya bertahan dua musim sejak mula dinaikkan pangkat ke Liga Super pada musim 2018.
Dengan pengalaman yang dimiliki oleh Akram Mahinan, pihak pengurusan Kuala Lumpur pastinya berharap ia akan melonjak dan membantu membangkitkan aura serta mengembalikan The Hawks ke saingan Liga Super semula bagi musim 2021.
Beraksi di posisi pemain tengah bertahan, Akram Mahinan pernah beraksi di Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu pada musim 2013 hingga 2016 sebelum kembali ke negeri kelahirannya, Kedah untuk dua musim. Pada 2019, Akram Mahinan menyertai PKNS FC.
Beraksi lebih 20 perlawanan untuk Semut Merah, Akram Mahinan telah membantu skuad kendalian Datuk K. Rajagobal untuk berada di kedudukan ke-9 liga sebelum diturunkan ke Liga Premier kerana penggabungan dengan Selangor yang memaksanya mengangkat kaki selepas beberapa rakan juga telah meninggalkan pasukan.
Akram Mahinan menjadi pemain pertama yang menyertai Kuala Lumpur selepas perubahan pucuk pimpinan KLFA selepas kongres tahunan yang menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Hj. Khalid Abdul Samad telah dipilih sebagai Presiden KLFA.
Dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad menjanjikan The Hawks hanya akan beraksi di Liga Premier untuk semusim dan mensasarkan kedudukan empat terbaik liga serta kembali semula ke Liga Super pada saingan musim 2021.
Kredit Featured Image: AFF 2018