Erwin Albeiro Carillo Fragozo merupakan pemain terbaru yang mengisi slot pemain import bagi Kelantan FA untuk musim 2015. Penyerang berkaki kanan berusia 31 tahun yang berasal dari Santa Marta, Colombia ini disebut-sebut bakal menjadi kunci kejayaan pasukan pantai timur itu setelah kegagalan mereka memenangi sebarang kejuaraan musim lalu.
Hal ini bertepatan dengan status Carillo sebagai penjaring terbanyak di liga divisyen dua Columbia pada musim lalu ketika beliau mewakili kelab tempat kelahirannya, Union Magdalena.Beliau telah menjaringkan 49 gol dari 116 penampilan sepanjang musim 2012 hingga tahun 2014.Kecermerlangan beliau yang menjaringkan 29 gol dari 39 perlawanan pada musim lalu benar-benar memikat pihak pengurusan Kelantan FA.
Kecemerlangan Carillo pada musim lalu bagaimanapun gagal membantu Union Magdalena apabila kelab tersebut hanya mampu menduduki tempat ke tujuh dari sembilan pasukan yang bertanding di liga divisyen dua Colombia. Carillo kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama kelab lamanya, dan mencuba nasib di benua Asia setelah mempunyai pengalaman bermain di liga Brazil, Chile, Peru dan Colombia sebelum menyertai Kelantan.
Ramai yang tahu bahawa Carillo tidak pernah mempunyai caps bersama Colombia, namun tahukah anda yang Carillo pernah menganggotai pasukan kebangsaan negaranya di FIFA World Cup U20 pada tahun 2003? Dalam kejohanan tersebut, Carillo telah menjaringkan gol dalam kemenangan bergaya 2-1 ke atas skuad muda Argentina dan meletakkan Colombia di tempat ketiga keseluruhan. Beliau juga telah bermain disamping Freddy Guarin dan Abel Aguilar dalam kejohanan yang sama.
Ketibaan beliau di Kota Bharu bersama anak dan isterinya (yang persis Salena Gomez) pada 20 Disember lalu telah disahkan oleh Tan Sri Annuar Musa. Beliau dijangka akan menyarung jersi nombor 9 dan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Francis Forkey Doe yang tampak beraksi cemerlang bersama pasukan barunya, NS Matrix.
Carillo bakal bergandingan dengan Norfarhan Muhammad, Ahmad Fakhri Shaarani dan Immanuel Kamogne di jentera serangan. Dengan hantaran killer Piya dan umpanan menarik dari Wan Zack Haikal serta Wan Zairulnizam, Carillo bakal menjadi seorang penyerang yang harus digeruni dan diberi perhatian dalam kancah liga Super musim hadapan.
Kredit gambar : FB Tan Sri Annuar Musa & colombiasports.net