Selepas dilanda isu tunggakan gaji pada musim ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang baharu, Damian Yeo Shen Li telah mendedahkan satu lagi kepincangan yang melanda pasukan itu: masalah fasiliti.
Dalam laporan oleh Bernama, Yeo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong membangkitkan perkara itu ketika berlangsungnya persidangan DUN Melaka pada Selasa.
Menurut Yeo ketika Melaka United kini rancak membawa masuk beberapa pemain baharu, mengumumkan Safiq Rahim sebagai kapten pasukan dan menggunakan khidmat empat pemain import, pasukan itu masih ‘dihantui’ masalah fasiliti yang tidak memuaskan dan tidak diselenggara dengan baik.
Menurutnya keadaan padang yang berlubang, tiada fasiliti bilik mandi dan bilik persalinan yang uzur akan memberi kesan kepada pembangunan pasukan dan ianya tidak menggambarkan sebuah pasukan yang sedang bersaingan di liga utama negara ini.
Romel Morales Perkuatkan Skuad Melaka United – https://t.co/y9jTiWfdAl pic.twitter.com/w1WysOleq3
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 12, 2019
Tambah Yeo lagi, masalah ini bukan sahaja melibatkan sukan bola sepak, tetapi ia turut beberapa pusat sukan lain seperti Gimnasium Gimnastik Majlis Sukan Negara Ayer Leleh yang melahirkan beberapa gimnas negara seperti Tan Ing Yuah dan Tracy Ang kini dalam keadaan uzur.
“Sekolah sukan pun mempunyai isu fasiliti tidak memuaskan. Fasiliti tidak terurus mengakibatkan kerencatan persiapan pasukan dalam menghadapi sebarang pertandingan atau kejohanan dan lebih menyedihkan sekiranya pasukan tersebut membawa nama Melaka ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Fasiliti sukan juga amat penting menentukan hala tuju dan pembangunan sukan. Penyelenggaraan perlu dilakukan berkala supaya keperluan latihan bagi memantapkan prestasi pemain dan keseluruhan pasukan dapat kita lakukan demi membuahkan kejayaan yang bermakna khususnya kepada Melaka,” katanya ketika berucap pada sesi penangguhan persidangan itu di Ayer Keroh di sini hari ini.
Isu yang dibangkitkan oleh Yeo itu telah mendapat respon daripada Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.
Menurut Kerk, kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka telah pun bertindak bagi menambah baik Gimnasium Gimnastik Majlis Sukan Negara Ayer Leleh dan fasiliti sukan lain.
“MSN (Melaka) telah membuat permohonan penyerahan semula gimnasium itu daripada Majlis Sukan Negara dan proses itu dijangka pada Januari 2020, kemudian di peringkat negeri ambil tanggungjawab itu dan laksanakan.
“Tahun 2020 kami jangka RM180,000 digunakan untuk selenggara dewan gimnasium, badminton dan fasiliti sukan lain,” kata ADUN Ayer Keroh itu ketika menggulung sesi ucapan penangguhan itu.