Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam menuntut ganti rugi sebanyak RM11,000 daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tuntutan berjumlah RM11,000 itu adalah untuk 44 unit kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil, dipercayai dirosakkan oleh penyokong Indonesia ketika perlawanan pada 19 November yang lalu.
Dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 tempoh hari, pasukan negara kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe menewaskan Indonesia 2-0.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Nik Razeen Adam Daud berkata beliau kecewa dengan sikap yang ditampilkan oleh pasukan pelawat ketika perlawanan berlangsung.
Perbadanan Stadium Malaysia akan kemukakan tuntutan bayaran ganti rugi kepada FAM berikutan kerosakan kerusi akibat tindakan penyokong Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 19 Nov lalu. pic.twitter.com/y257GMOeDy
— BERNAMA Radio (@bernamaradio) November 25, 2019
“Kami telah memberikan sambutan baik untuk mengalu-alukan kedatangan para penyokong pasukan bola sepak Indonesia ke Stadium Nasional,” ujar Nik Rezeen.
“Walau bagaimanapun setelah apa yang berlaku, saya berasa amat kecewa sekali kerana sambutan baik yang kami berikan tidak dihargai oleh mereka.”
Disebabkan perkara tersebut, pihak PSM terpaksa melakukan tuntutan kepada FAM yang merupakan penganjur perlawanan yang membuat tempahan untuk venue tersebut.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada 19 November tersebut, tidak kurang 6,500 penyokong Indonesia dilaporkan hadir untuk memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan mereka.
Walaupun pelbagai ingatan telah diberikan kepada penyokong yang hadir, insiden-insiden tidak diingini tetap berlaku – selepas insiden yang lebih teruk berlaku ketika kedua-dua pasukan bertemu pada 5 September di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
Foto Hadapan: Berita Harian