Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) memulakan aksi pembukaan kumpulan A saingan Sukan SEA 2019 menentang Myanmar dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.
Ketua jurulatih skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee menurunkan barisan terbaiknya dengan meletakkan gandingan tiga penyerang, Muhammad Hadi Fayyadh, Muhammad Akhyar Rashid dan Luqman Hakim Shamsudin.
Di bahagian tengah pula Syamer Kutty Abba dan Daniel Amier menjadi pilihan untuk menggerakkan jentera pasukan sambil diapit Muhammad Syahmi Safari dan Muhammad Umar Hakeem.
Sementara di bahagian pertahanan pula, Muhammad Irfan Zakaria, Dominic Tan dan ketua pasukan, Adam Nor Azlin diberi kepercayaan membentuk pertahanan tengah bertiga sambil Muhammad Haziq Nadzli kekal menjadi pilihan utama untuk menjadi benteng terakhir skuad negara.
Sukan SEA 2019 Perlawanan #1 | Isnin, 25 November 2019
Kesebelasan Utama
MALAYSIA lwn MYANMAR
Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina 4.00 petang (Waktu Tempatan & Malaysia)#FAM #HarimauMalaya #SEAGames2019 pic.twitter.com/oT38VqkkLp— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 25, 2019
Awal permainan pada minit kelapan, skuad negera memperoleh peluang selepas mendapat sepakan percuma di hadapan kotak penalti. Namun disia-siakan oleh Syamer Kutty Abba yang merembat liar melepasi palang gol lawan.
Hanya seminit selepas itu, Myanmar membuat serangan balas dan penyerangnya, Aung Kaung Mann hampir meletakkan Myanmar di depan dengan percubaan di dalam kotak penalti, namun berjaya dipintas oleh Dominic Tan.
Minit ke-12, Myanmar meneruskan asakan dan mendapat sepakan percuma yang diambil oleh Aung Naing Win. Percubaan pemain itu tidaklah merbahaya, namun kesilapan Haziq Nadzli yang gagal menangkap kemas bola menyebabkan bola hampir masuk ke dalam gol namun diselamatkan oleh tiang gol dan memberikan sepakan penjuru kepada Myanmar.
Myanmar segera memanfaatkan sepakan penjuru tersebut yang diambil oleh Hlaing Bo Bo untuk mendahului di depan hasil tandukan Soe Meo Kyaw menewaskan Haziq Nadzli untuk memberikan gol pendahuluan.
Minit ke-17 Myanmar sekali lagi mendapat peluang menerusi situasi satu lawan satu, bermula dengan lorongan dari Lwin Moe Aung, tetapi percubaan Myang Kuang Khant berjaya dihalang oleh Haziq Nadzli.
Myanmar yang mendapat sepakan penjuru selepas itu sekali lagi hampir menjaringkan gol dalam keadaan kelam kebut di hadapan gol, tetapi Haziq Nadzli cemerlang menyelamatkan percubaan jarak dekat oleh Aung Kaung Mann.
Malaysia akhirnya berjaya menyamakan kedudukan setelah pertahanan Myanmar membuat kesilapan dengan menghantar bola ke belakang yang berjaya dipintas oleh Akhyar Rashid.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kemudian membuat hantaran lintang dan disambar Hadi Fayyadh dengan membuat tandukan menewaskan penjaga gol Sann Sat Naing. Malaysia berjaya menghasilkan gol menerusi percubaan tepat pertama skuad negara dalam perlawanan ini.
Minit ke-33 Myanmar melancarkan serangan balas dan Dominic Tan sekali lagi menjadi penyelamat dengan menghalang percubaan penyerang Myanmar untuk dan memberikan sepakan sudut kepada pasukan lawan.
Selepas itu pada minit ke-36, giliran Malaysia mengasak kubu lawan hasil sepakan percuma dari sebalah kini kawasan Myanmar, namun Hadi Fayyadh gagal meletakkan Malaysia di depan apabila tandukannya hanya sedikit sahaja tersasar di atas palng gol.
Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Umar Hakeem mendapat peluang keemasan apabila menerima bola hasil kuisan bijak dari Luqman Hakim, namun percubaan lemahnya terkena pertahanan lawan dan mudah ditangkap penjaga gol.
Sukan SEA 2019 | Isnin, 25 November 2019
Separuh Masa
MALAYSIA 1-1 MYANMAR
⚽️ Hadi Fayyadh 23’
⚽️ Soe Moe Kyaw 12’#FAM #HarimauMalaya #SEAGames2019 pic.twitter.com/A2toO4wPHo— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 25, 2019
Bermula babak kedua, Malaysia yang mahukan permulaan yang lebih baik mengatur serangan untuk mencari gol kedua sekalipun mereka dilihat agak bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik di atas padang rumput tiruan sintetik ini.
Hasilnya Malaysia mendapat sepakan percuma setelah Akhyar Rashid dijatuhkan oleh Ye Ying Aung sekaligus memberikan layangan kad kuning kepada pemain pertahanan itu. Namun sepakan Syamer Kutty Abba kali ini juga agak mengecewakan dan dihalang barisan benteng pasukan lawan.
Minit ke-54, Akhyar Rashid hampir memberikan kelebihan kepada Malaysia hasil dari gerakan dari sebelah kanan. Namun sepakan voli tepat ke kanan gawang gol Myanmar berjaya ditepis keluar oleh Sann Sat Niang.
Selepas satu jam masa perlawanan berlangsung, Luman Hakim dikeluarkan dan digantikan dengan Mohamad Faisal Dul Halim. Beberapa saat selepas itu, Syahmi Safari membuat hantaran lintang tepat kepada Hadi Fayyadh, namun kecekapan penjaga gol menafikan tandukan penyerang tinggi lampai itu.
Minit ke-62 Adam Nor Azlin dijatuhkan di hadapan kotak penalti memberikan sepakan percuma kepada Malaysia. Sayangnya sepakan yang diambil sendiri oleh kapten pasukan negara itu terkena palang gol sekalipun penjaga gol sudah pun tertewas.
Kim Swee kemudian mengeluarkan Umar Hakeem yang mengalami kekejangan otot pada minit ke-70 dan digantikan dengan J. Dinesh. Lima minit kemudian, giliran Akhyar Rashid pula digantikan selepas turut mengalami kekejangan otot dan Muhammad Danial Haqim dibawa masuk.
Minit ke-85, Myanmar mendapat peluang menerusi sepakan dari jarak jauh oleh ketua pasukan namun diselamatkan Haziq Nadzli. Tindakan susulan juga berjaya diselamatkan Dominic Tan yang sudah bersedia di hadapan gol.
Malaysia membalas dua minit selepas itu dengan percubaan menerusi Hadi Fayyadh yang menerima bola dari hantaran lintang Dinesh, namun tandukannya hanya beberapa inci sahaja di atas palang gol.
Empat minit masa tambahan yang diberikan, kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan gol kemenangan. Syamer Kutty mensia-siakan peluang untuk meraih kemenangan selepas beliau yang menerima hantaran di dalam petak penalti merembat bola tinggi ke atas gawang gol lawan.
Tamat perlawanan, skuad negara berhasil mengutip satu mata dalam perlawanan sulung mereka dalam kejohahan dwi tahunan ini.
Sukan SEA 2019 | Isnin, 25 November 2019
Masa Penuh
MALAYSIA 1-1 MYANMAR
⚽️ Hadi Fayyadh 23’
⚽️ Soe Moe Kyaw 12’#FAM #HarimauMalaya #SEAGames2019 pic.twitter.com/j5FaksGWfs— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 25, 2019
Tugasan seterusnya untuk perlawanan kedua adalah berdepan pasukan tuan rumah pada Jumaat, 29 November ini dan diharapkan anak buah Datuk Ong Kim Swee dapat bangkit untuk mencipta kemenangan pertama negara.