Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui aksi pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Thailand malam tadi adalah sebagai antara yang terbaik dipamerkan anak buahnya pada tahun ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan skuad negara mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh bagi memadam kelebihan seawal minit ketujuh dilakukan Thailand menerusi Chanathip Songkrasin.
”Saya merasakan semua pemain kami mempamerkan corak permainan yang hebat, ini merupakan antara aksi terbaik dapat disaksikan pada tahun ini,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap kepada wartawan dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
”Tidak mudah kerana Thailand hadir dengan barisan terkuat mereka tetapi paling penting ialah pemain [skuad negara] menunjukkan semangat melawan yang tinggi dan sikap ‘never die’.”
”Itu yang paling penting buat kami dan berhak untuk mencapai tiga mata penuh ini.”
Dalam pada itu, Tan Cheng Hoe turut melihat kemenangan bermakna di hadapan 39,353 orang penonton tersebut dapat meningkatkan moral pasukan bagi menghadapi baki saingan.
”Sebagai jurulatih, saya cukup gembira kerana kita amat memerlukan tiga mata penting untuk perjalanan pasukan kita yang seterusnya. Kita baru sahaja mengharungi separuh perjalanan kerana masih ada empat perlawanan lagi.”
”Tetapi kemenangan ini memberikan kita motivasi untuk kita mendapatkan keputusan yang positif pada perlawanan akan datang.”
Skuad negara ketika ini masih kekal di tangga keempat tetapi jurang mata semakin dapat dirapati apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) tewas buat kali kedua apabila tunduk ditangan Vietnam, malam tadi.
Vietnam unggul tanpa kalah di tangga teratas dengan 10 mata sambil diikuti Thailand yang ketinggalan tiga mata manakala UAE dan Malaysia terikat dengan enam mata. Satu lagi pasukan, Indonesia di tangga terbawah tanpa sebarang mata dalam empat perlawanan dilalui.
Kredit foto: PFA Malaysia