Dalam sidang media kelmarin, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilihat membawa pertahanan, Aidil Zafuan Abd Razak yang diumumkan sebagai kapten untuk aksi menentang Thailand.
Malaysia akan melayan kunjungan Thailand dalam aksi keempat Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada malam nanti.
Ini menimbulkan persoalan, adakah penjaga gol yang merupakan kapten, Farizal Marlias, akan bermula dari bangku simpanan?
Tiada jaminan 100%
Sejak beberapa hari lalu, media tampak memutarkan isu mengenai keperluan untuk Tan Cheng Hoe melihat semula watak penjaga gol utama skuad kebangsaan menjelang dua aksi penting bulan ini.
Selepas Thailand, skuad negara dijadualkan akan melayan pula kunjungan seteru nusantara, Indonesia. Dua perlawanan yang menjadi sasaran untuk mengumpul enam mata maksimum.
Ketika diutarakan persoalan ini oleh Berita Harian pada Selasa lalu kepada pengendali berusia 51 tahun itu, jawapannya melihatkan kemungkinan bakal ada perubahan namun, tiada kepastian lagi.
“Tiap kali panggilan skuad kebangsaan, tiada jaminan 100 peratus untuk mereka, tetapi kita ada pemain tonggak dalam kesebelasan utama yang kita rasa boleh memberikan sesuatu kepada pasukan.
“Pemain tahu bahawa persaingan dalam skuad kebangsaan sememangnya kompetitif,” ujarnya pada ketika itu.
Saya selesa bersama skuad kebangsaan
Sementara itu, Khairulazhan Khalid yang beraksi bersama Selangor itu menjelaskan kepada The Star, beliau sangat selesa menyertai kem skuad kebangsaan biarpun sudah sekian lama tersisih.
Kali terakhir penjaga gol berusia 30 tahun itu berada dalam skuad kebangsaan adalah pada Jun 2017 ketika tewas 1-2 kepada Lubnan dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin. Beraksi sepanjang 90 minit, Khairulazhan gagal menafikan dua gol oleh Lubnan.
Khairulazhan turut menjelaskan permainan Malaysia dan Selangor tiada perbezaan, membolehkannya cepat menyesuaikan diri.
“Saya bersedia untuk bermain bersama skuad kebangsaan tetapi ia terpulang kepada jurulatih. Saya selesa bersama skuad kebangsaan walaupun sudah lama tidak menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Cara permainan Selangor dan Malaysia adalah sama, di mana kita membina permainan daripada belakang. Dalam bola sepak moden, penjaga gol harus selesa memegang bola dengan kaki, jadi saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri,” jelasnya lagi.
Kini, setelah mendapat semula panggilan skuad kebangsaan, ramai yang mungkin mempersoalkan, mengapa penjaga gol daripada pasukan yang memiliki rekod bolos yang banyak telah dipilih?
Namun, setelah aksi baik dipamerkan ketika menewaskan Tajikistan tempohari, namanya kembali didendang sebagai benteng terakhir skuad Harimau Malaya. Adakah Farizal Marlias bakal direhatkan?
Kapten hanyalah ‘armband’
Dalam sidang media pra perlawanan menentang Thailand kelmarin, media turut bertanya, adakah Aidil Zafuan bakal mengambil alih peranan Farizal Marlias dan berikut adalah respon Tan Cheng Hoe;
“Kami belum membuat sebarang keputusan [mengenai kapten pasukan]. Kerana bagi saya, kapten pasukan hanyalah armband. Paling penting, pemain mestilah memiliki pendekatan dan sikap yang betul serta boleh menjadi contoh untuk memimpin pasukan dalam satu-satu perlawanan,” jelasnya berhubung perkara itu.
Dan jika Aidil Zafuan dipilih sebagai kapten, ini memungkinkan Khairulazhan bakal mendapat lampu hijau untuk diturunkan. Namun, ia hanyalah satu kemungkinan dan juga spekulasi.
Walaupun kurang diuji dalam perlawanan menentang pasukan di ranking ke-116 dunia itu, Khairulazhan ada membuat beberapa aksi menyelamat yang baik bagi menafikan jaringan gol oleh barisan jentera serangan Tajikistan. Antara peluang terbaik lawan adalah percubaan deras Alisher Dzhalilov pada minit ke-17.
Sementara Farizal Marlias pula dikaitkan dengan isu melepaskan banyak gol sepanjang aksi di pusingan kelayakan iaitu lima gol dalam tiga aksi iaitu dua gol ketika bertemu Indonesia, satu gol ketika menentang UAE dan kemudian satu gol bertemu Vietnam.
Penutup
Siapa pun yang terpilih untuk membarisi kesebelasan utama dan menjadi kapten pada malam ini mestilah memberikan 100 peratus komitmen untuk menumbangkan Gajah Perang. Tiga mata harus menjadi milik Harimau Malaya biar apa cara sekalipun.
Antara Farizal Marlias dan Khairulazhan Khalid, kedua-dua memiliki watak tersendiri di benteng terakhir, namun sangat penting adalah bagaimana prestasi ketika di gawang dalam perlawanan penting.
Semua pemain yang terpilih dalam senarai 23 pemain adalah yang terbaik. Sepertimana kata Tan Cheng Hoe, paling penting adalah para pemain mestilah turun ke padang dengan sikap dan taktikal disiplin yang betul serta memberi aksi terbaik mereka.
Selamat berjaya Harimau Malaya!
Kredit Featured Image: Harimau Malaysia