Bagi menghadapi saingan Liga Perdana pada musim hadapan, Terengganu FC (TFC) II hanya mengekalkan seorang sahaja pemain import, Marcel N’Guessan dan akan mencari pemain import bahari bagi memperkuatkan pasukan.
Pengendali TFC II, Roshadi Wahab menjelaskan, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor. Tiga pemain import lain iaitu Akanni Sunday, Bruno Suzuki dan Serhii Andrieiev difahamkan tidak ditawarkan kontrak baharu.
“Kontrak semua pemain import baru sahaja tamat dan selepas perbincangan serta penelitian mendalam hanya Marcel dikekalkan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain import yang telah membantu memantapkan pasukan TFC ll musim ini dan berharap kerjaya mereka lebih cemerlang pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Roshadi lagi, menjelaskan kuota empat pemain import itu akan dipenuhkan dan mereka sedang mencari pemain di posisi penyerang, bek tengah dan perancang dengan fungsi nombor 10 amat diperlukan bagi memperkuatkan pasukan berstatus ‘feeder’ itu musim depan.
“Ramai yang menyatakan minat untuk menyertai TFC II walaupun kami tidak beraksi dalam Liga Super.
“Senarai penuh skuad TFC II akan dilengkapkan sebelum Disember walaupun mungkin ramai lagi pemain import dijangka hadir mencuba nasib.
“Saya sedang meneliti pemain terbaik untuk bersama pasukan ini di tiga posisi itu,” jelas Roshadi.
Bruno Suzuki dalam hantaran terbaru dalam akaun media sosialnya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, pihak pengurusan dan penyokong TFC.
“Saya sedang mencari pasukan serta cabaran baharu musim depan. Terima kasih untuk dua musim ini,” katanya.