“Atmosfera [sokongan] di sini berlainan terutamanya sorakan.” Itu ungkapan pemain sayap yang beraksi untuk kelab Liga Jepun (J1 League), Consadole Sapporo, Chanathip Songkrasin ketika ditanya oleh #Changsueklive di sesi latihan pertama, di Kuala Lumpur.
Chanathip Songkrasin sememangnya tidak asing dengan suasana di Bukit Jalil apabila pernah beraksi di pentas akhir Piala AFF 2014 menentang skuad negara – Thailand menang 4-3 secara agregat.
Jaringannya pada minit ke-87 bersama Charyl Chappuis (82′) telah memusnahkan harapan Malaysia untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua selepas edisi 2010. Malaysia mendahului Gajah Perang 3-0 dan berjaya menekan juara lima kali kejohanan itu – dua gol di Rajamangala membantu mereka menjulang kejuaraan tersebut.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui sorakan di Bukit Jalil akan membantu skuad Malaysia bermain dengan lebih baik. Chanathip Songkrasin turut berkongsi petua iaitu bermain dengan tenang biarpun berdepan sorakan penyokong lawan dan paling penting adalah mengikut perancangan jurulatih sepanjang perlawanan.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk penyokong Thailand di seluruh negara. Kami akan bermain di tempat lawan. Atmosfera [sokongan] di sini berlainan terutamanya sorakan yang padu dan Malaysia akan bermain baik. Kami perlu lebih tenang dan mengikut perancangan daripada jurulatih,” ujarnya kepada pihak media.
Pemain tengah, Sarach Yooyen pula mengakui yang skuad Gajah Perang berada dalam kondisi terbaik untuk meraih enam mata maksimum daripada Malaysia dan Vietnam untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 14 dan 19 November ini.
“Misi kami adalah enam mata dalam dua perlawanan menentang Malaysia dan Vietnam. Tetapi kita perlu melakukannya satu demi satu, bermula dengan Malaysia dan kemudian berdepan Vietnam.
“Keseluruhan skuad kini penuh dengan keyakinan,” jelas pemain kelab Liga Thailand (Thai League 1), Muangthong United.
Thailand pastinya turun dengan penuh keyakinan apabila memiliki keseluruhan skuad utama kecuali Thitipan Puangchan yang masih belum cergas daripada kecederaan yang dialami ketika beraksi di J1 League bersama kelab Oita Trinita pada September yang lalu.
Pertahanan yang turut beraksi di J1 Legaue bersama Yokohama FM, Theerathon Bunmathan juga tidak dapat dimasukkan apabila akan menjalani penggantungan perlawanan ketika berdepan Malaysia.
Kredit Featured Image: FA Thailand