Jika pertembungan Pahang-Kedah dianggap berkelebihan kepada Pahang, pertemuan antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua pada Sabtu ini pula dilihat lebih kepada peluang seimbang antara kedua-dua pasukan.
Ini kerana, JDT tiada rekod yang gah di Stadium Shah Alam dalam lima perlawanan yang menyaksikan Selangor dan JDT, masing-masing berkongsi dua kali kemenangan serta satu keputusan seri.
Dalam separuh akhir pertama tempohari, JDT meraih kemenangan tipis 2-1 dalam aksi yang diramal pada awalnya mudah buat anak didik Benjamin Mora itu, namun sebaliknya telah berlaku.
Sama kuat di Shah Alam
Tiada pemisah ketara antara kedua-dua pasukan. Gergasi Merah dan Harimau Selatan masing-masing telah merekodkan dua kemenangan di Shah Alam selain satu keputusan seri iaitu dalam saingan Liga Super musim 2018 yang berkesudahan 2-2.
Pada Mac lalu, JDT menang 4-2 ketika berkunjung ke Shah Alam pada aksi Liga Super 2019, hasil dua jaringan Leandro Velazquez dan satu jaringan oleh Diogo dan Gonzalo Cabrera. Ketika itu, tiada kelibat penyerang berbahaya Selangor, Ifedayo Olusegun kerana penjaring terbanyak mereka, Rufino Segovia masih beraksi.
Sebelum itu, satu lagi kemenangan JDT di gelanggang tersebut adalah di kempen Liga Super 2016, menundukkan Selangor 2-1 dalam perlawanan terakhir liga hasil ledakkan penyerang yang dikaitkan dengan Kedah dan Sabah ketika ini, Jorge Pareyra Diaz dan juga ‘anak emas’ Selangor selamanya, Amri Yahyah.
Dalam Piala Malaysia pula, Selangor meraih kemenangan 3-2 ke atas lawannya itu pada edisi 2017 dalam peringkat kumpulan hasil dua jaringan Amri Yahyah dan Fairuz Abdul Aziz. Ternyata Amri Yahya ada ‘sentuhan magis’ untuk kedua-dua pasukan!
Berjaya redah gelora Larkin
Selangor yang boleh diibaratkan tidak memiliki skuad sempurna mampu merekodkan keputusan yang ‘baik’ di Larkin apabila tewas tipis 1-2. Ifedayo Olusegun menjaringkan satu gol berharga untuk Gergasi Merah bawa pulang ke Shah Alam, minggu ini.
Walaupun tewas, Selangor memiliki peluang baik untuk mengatasi JDT dalam perlawanan tersebut, namun dikecewakan dengan dua percubaan yang sekadar mengegar tiang oleh Ifedayo Olusegun dan juga ‘Cristiano Ronaldo’ Selangor, Khyril Muhymeen.
Bekalan satu gol di tempat lawan itu sudah cukup buat pengendali, B. Satiananthan dan anak buahnya untuk memberi tekanan kepada JDT di Shah Alam. Di Shah Alam, segalanya mungkin buat mereka.
Dalam aksi suku akhir menentang Perak, Selangor yang tewas di Ipoh dengan keputusan 0-1, bangkit semula untuk menang 3-1 hasil ledakan Khyril Muhymeen (dua gol) dan Syazwan Zainon.
Adakah sekali lagi Selangor mampu bangkit sebagaimana yang telah dilakukan di saingan suku akhir tempohari? B. Satiananthan pastinya menagih magis Stadium Shah Alam untuk kali kedua.
‘Peledak kepala tiga’
Peledak kepala tiga, Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid dan Diogo merupakan tonggak berbahaya buat mana-mana pasukan yang bakal bertemu mereka. Rekod jaringan mereka adalah 53 gol dengan Diogo meledak 20 gol, Cabrera (17) dan Safawi (16).
Begitupun, dalam pertembungan di Larkin tempohari, tiada jaringan daripada ketiga-tiganya, malah tiada kelibat Diogo di padang mahupun di bangku simpanan. Adakah Benjamin Mora menyimpan penjaring terbanyaknya itu untuk Sabtu ini?
Kali terakhir penyerang berusia 32 tahun itu meledak gol adalah kira-kira sebulan yang lalu, ketika menundukkan Terengganu FC 1-0 di Kuala Terengganu dalam aksi suku akhir pertama. Sementara Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera pula meledak dua gol masing-masing, ketika aksi timbal balik di Larkin, seminggu kemudian.
Adakah ketiga-tiga pemain ini menyimpan taring untuk aksi kedua separuh akhir minggu ini? Jika benar, Khairulazhan Khalid dan rakan-rakannya di benteng perlu berwaspada menanganinya.
Penutup
Selaku juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor memang sangat gah dengan sejarah tersebut, manakala JDT yang baru dibentuk sejak 2013 pula telah dua kali ke pentas final dengan meraih sekali kejuaraan iaitu pada edisi 2017, menewaskan Kedah 2-0.
Walaupun barisan pemain yang sederhana dari segi kemampuan jika dibandingkan dengan JDT, Selangor mampu mara sejauh ini dan kejutan di suku akhir menundukkan Perak, pastinya menjadi motivasi buat Gergasi Merah untuk berdepan Harimau Selatan.
Adakah Selangor mampu ulangi magis di Shah Alam, ataupun bakal menjadi ‘santapan enak’ JDT yang serius untuk ke pentas final buat kali ketiga selepas sejarah pembentukkannya?
Kredit Featured Image: Johor Southern Tigers