Mesej ‘You Can Never Be Us’, Adakah Ia Sindiran Atau Fakta Dari JDT?

JDT tampil dengan satu mesej yang agak misteri semalam. “You Can Never Be Us”, atau dalam terjemahan ia membawa maksud, ‘Anda Tidak akan Boleh Jadi Seperti Kami.’

Ia seolah-olah membidas pihak-pihak tertentu yang seolah-olah seperti tampil dan mahu meniru model bola sepak yang cuba diketengahkan oleh pasukan dari selatan tanah air itu sejak 2013.

Mesej tersebut dianggap agak misteri, namun kefahaman akan mesej yang disampaikan boleh bergantung kepada penerimaan pembaca.

“YOU CAN NEVER BE US”

Ada sesetengah yang jahil cuba untuk menjadi seperti kami tetapi untuk menjadi seperti kami…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Thursday, October 17, 2019

“Ada sesetengah yang jahil cuba untuk menjadi seperti kami tetapi untuk menjadi seperti kami adalah lebih dari sekadar meniru apa yang kelihatan di mata. Bola sepak bukan jenis ‘copy and paste’,” ujar kenyataan tersebut.

“Menjadi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tentang mempunyai semangat, keazaman, keinginan dan daya intelek untuk membina empayar yang mampu menakluk semua.”

Kenyataan tersebut turut menafikan usaha pihak tertentu melakukan peniruan bukanlah satu bentuk pujian kerana usaha itu tidak akan memberikan hasil yang sama.

Sindiran atau fakta?

Mungkin ramai yang mahu melihat mesej daripada juara Liga Super ini sebagai satu bentuk sindiran. Di mata kami, ia adalah satu bentuk peringatan. Ini penjelasan kami:

Di dalam bola sepak, sesebuah kelab harus memiliki identiti tesendiri untuk membangunkan falsafah bola sepak masing-masing.

Kita ambil contoh persaingan diantara kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Liverpool misalnya. Sepanjang tempoh dua dekad skuad kendalian Sir Alex Ferguson mendominasi bola sepak Inggeris mereka mempunyai identiti bola sepak mereka tersendiri.

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Ia bukan mengenai taktikal dan apa yang kelihatan ketika perlawanan semata-mata. Ia lebih daripada itu seperti budaya, pendekatan, mentaliti, malah cara berfikir setiap individu di dalam kelab tersebut.

Sepanjang tempoh itu, Liverpool gagal mencabar Manchester United, sehinggalah kelab Merseyside itu berada di bawah pengurusan dan pemilikan baharu.

Hari ini kita boleh lihat bagaimana Liverpool mampu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan tampil sebagai pasukan yang dominan di Liga Inggeris berbanding Manchester United kerana kelab tersebut sudah berjaya menemui identiti mereka sendiri.

Sebaliknya, Manchester United pula kini bergelut dan seperti tercar-cari identiti baharu.

BARCELONA, SPAIN – MAY 06: Marcelo of Real Madrid is challenged by Jordi Alba of Barcelona in the penalty area during the La Liga match between Barcelona and Real Madrid at Camp Nou on May 6, 2018 in Barcelona, Spain. (Photo by Alex Caparros/Getty Images)

Begitulah juga setiap perseteruan di dalam arena bola sepak di seluruh dunia. Barcelona tidak mungkin sama dengan Real Madrid. Atletico Madrid dan Atletico Bilbao juga mempunyai identiti mereka tersendiri di La Liga.

Inter Milan dan Juventus di Serie A Itali juga menampilkan kepimpinan, pengurusan dan bola sepak yang berbeza. Sudah tentu kedua-dua kelab juga mempunyai struktur, keutamaan dan budaya berbeza berbanding Napoli.

Begitu juga dengan River Plate dan Boca Juniors – dua seteru hebat bola sepak di Argentina – dan identiti khusus yang dimiliki oleh kelab bola sepak sebegni tiada bezanya jika kita serius membina identiti tersendiri di kalangan kelab bola sepak di Liga Malaysia.

Maka di dalam konteks ini, mesej yang disampaikan oleh JDT itu ada kebenarannya.

Perang saraf oleh JDT?

Atau adakah mesej tersebut berbentuk satu perang saraf terutama ke atas pasukan Selangor yang bakal dihadapi oleh pasukan itu di separuh akhir Piala Malaysia esok?

Dalam saingan Piala Malaysia 2019, tidak boleh dinafikan skuad kendalian B. Sathianathan telah menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa perlawanan lalu.

Contohnya ketika Selangor bangkit di Shah Alam untuk membenam Perak, walaupun ketinggalan secara agregat di Ipoh pada suku akhir pertama yang lalu.

Kemenangan 3-1 Selangor ke atas Perak bukan sahaja menampilkan corak permainan serangan yang ampuh. Ia turut disertai dengan keyakinan dan mentaliti pemain yang dahagakan kemenangan. Untuk itu, kredit harus diberikan kepada jurulatih, B. Sathianathan.

Penutup

Adakah kebangkitan Selangor menggusarkan JDT? Satu perkara yang pasti adalah tiada laluan mudah buat semua pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2019.

Ini juga menjadikan saingan Piala Malaysia pada musim ini antara yang paling hangat untuk disaksikan.

Buat JDT, Selangor, Pahang dan Kedah. Selamat maju jaya kami ucapkan untuk perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.

 

Nota Editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak mewakili pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN