Pemain tengah Selangor, K Sarkunan mengakui dia berdepan tugas berat ketika berdepan jentera serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu ini.
Ini kerana Sarkunan yang diberikan nama jolokkan ‘N’Golo Kante’ Selangor, mendedahkan dia dan rakan sepasukan perlu memastikan bahagian tengah mampu menjadi milik Selangor jika mahu meraih sebarang bekalan dari Larkin walaupun sedar JDT yang kebiasaannya menurunkan Leandro Velazquez dan Afiq Fazail cukup dominan di posisi berkenaan.
Di sebalik menghormati kekuatan JDT, Sarkunan yang banyak berfungsi sebagai pemain tengah bertahan bagaimanapun tidak menganggap reputasi gah lawan mampu melemahkan motivasi Selangor untuk melakukan kejutan.
“Memang pasukan JDT ini bagus di bahagian tengah kerana mempunyai dua pemain import yang cukup berkualiti di posisi ini iaitu Hariss Harun dan Leandro.
“Jadi, sememangnya saya dan rakan-rakan kena bersiap sedia mengekang bahagian ini bagi menutup seberapa banyak ruang kepada JDT bergerak bebas dalam kawasan kami.
“Tumpuan sudah semestinya diberikan kepada Leandro dan Afiq Fazail yang boleh menjadi penggerak kepada nadi serangan JDT kerana Hariss lebih beri tumpuan ke bahagian bawah, “ katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan musim ini di Liga super, Selangor tewas 2-3 kepada JDT di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin dan 2-4 ketika bermain di laman sendiri di Stadium Shah Alam.
Sarkunan antara pemain muda cukup menyerlah bersama Selangor musim ini apabila beraksi hampir tiap perlawanan selain pernah diberi peranan ketua pasukan oleh jurulatih, B. Satianathan.
Mengenai jolokan ‘Kante’ yang diberi kebanyakan peminat Selangor ke atas dirinya, Sarkunan tidak melihat itu sebagai satu bebanan sebaliknya menjadikan itu sebagai satu pengiktirafan.
“Saya mengambil perkara ini sebagai aspek positif kerana di Malaysia, susah hendak orang beri gelaran sebegini seperti Faiz Nasir yang orang panggil Messi.
“Jadi, saya ambil ini satu contoh untuk memotivasikan diri sendiri dengan cuba sentiasa meningkatkan mutu permainan serta kualiti dalam tiap perlawanan, ” katanya.
Satu lagi aspek yang berikan motivasi tambahan kepada Sarkunan ialah mahu meneruskan legasi kebanggaan warga Kajang yang terus melahirkan bakat bola sepak Selangor.
Antara pemain yang berasal dari Kajang ialah Christie Jayaseelan, Zarif Irfan, K. Reuben dan P. Gunalan malah mereka semua berasal dari sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Tinggi Kajang.
“Memang saya orang Kajang dan sememangnya berbangga dibesarkan di sana. Sebelum ini P. Gunalan dan K. Gurusamy pernah bermain dengan Selangor maka saya harap kecemerlangan ini boleh disambung.
“Harap pengakhiran musim ini saya dapat menjulang trofi Piala Malaysia dengan Selangor dan buktikan kepada orang Kajang yang saya mampu teruskan legasi ini, ” katanya.
Kredit foto: FA Selangor