Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo telah meledakkan jaringan ke-700 dalam karier bola sepak profesional beliau selepas menyempurnakan sepakan penalti pada aksi Kelayakan Euro 2020 bertemu Ukraine di Kiev, awal pagi tadi.
Gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-72 itu juga menjadikan ia sebagai jaringan ke-95 di pentas antarabangsa buat Ronaldo.
Masih kekurangan 14 jaringan untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa yang dilakarkan penyerang Iran, Ali Daei [109 gol].
Menurut sumber Goal, Cristiano Ronaldo kini sebaris dengan lima pemain legenda bola sepak dunia yang telah mencecah 700 jaringan dalam karier hebat mereka.
Antara legenda tersebut ialah Josef Bican dengan 805 gol, Romario [772], Pele [767], Ferenc Puskas [746] dan Gerd Muller dengan 735 gol dijaringkan.
Sementara itu, ‘musuh’ tradisi Ronaldo, Lionel Messi pasti akan turut menyertai senarai enam pemain tersebut kerana pada ketika ini kapten Argentina dan Barcelona itu sudah menjaringkan 699 gol sepanjang kariernya.
Namun, rekod pencapaian hebat Ronaldo tersebut masih tidak dapat menghalang Portugal daripada mengalami kekalahan pertama dalam saingan kelayakan ini yang sekaligus memberikan kelebihan lapan mata buat Ukraine di tangga teratas.
Ukraine berjaya menghasilkan dua jaringan pada separuh masa pertama menerusi Roman Yaremchuk dan Andriy Yarmolenko manakala jaringan ke-700 Cristiano Ronaldo itu sekadar mengurangkan defisit jaringan untuk mengesahkan kemenangan 2-1 buat skuad bimbingan Andriy Shevchenko tersebut.
Kredit foto: talkSPORT